Kepercayaan rakyat jadi ‘infrastruktur’ penting pembangunan Sarawak

1 hour ago 7
ADVERTISE HERE

KUCHING, 14 Sept: Kepercayaan rakyat dilihat sebagai satu bentuk ‘infrastruktur’ penting yang menjadi asas kepada pembangunan dan kemajuan Sarawak, selain kemudahan fizikal seperti jalan raya, jambatan serta rangkaian digital.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dalam dunia yang semakin kompleks dan tidak menentu, keamanan serta kestabilan tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang akan kekal dengan sendiri, sebaliknya perlu dipelihara secara bersama.

Menurutnya, pembangunan tidak hanya bergantung kepada infrastruktur fizikal, tetapi turut memerlukan satu lagi asas penting iaitu kepercayaan yang menjadi pengikat kepada kestabilan dan kemajuan masyarakat.

“Kita sering bercakap tentang infrastruktur seperti jalan raya, jambatan, pelabuhan, tenaga dan penyambungan digital. Tetapi terdapat satu lagi bentuk infrastruktur yang lebih penting.

“Infrastruktur itu ialah kepercayaan. Tanpa kepercayaan, pembangunan tidak akan membawa kita jauh,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain sempena Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di sini, malam ini.

Beliau berkata, kestabilan politik memberi hala tuju, kestabilan ekonomi membuka peluang, manakala kestabilan sosial membina kepercayaan serta keyakinan rakyat terhadap masa depan.

Abang Johari turut menegaskan kekuatan terbesar Sarawak bukan hanya terletak pada sumber alam atau kekuatan ekonomi, tetapi pada kepercayaan dan hubungan baik antara rakyat yang dibina melalui kesederhanaan, toleransi serta sikap saling menghormati.

“Dalam masyarakat yang berbeza agama dan budaya, perbezaan tidak seharusnya menjadi punca perpecahan. Sebaliknya, ia boleh menjadi sumber kekuatan,” ujarnya. – TVS

Read Entire Article