Belanjawan 2027: KPDN mahu subsidi, bantuan tunai diteruskan – Armizan

1 hour ago 4
ADVERTISE HERE

BATU KAWAN, 19 Sept: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berharap kerajaan dapat meneruskan subsidi kepenggunaan serta bantuan sosial kepada rakyat dalam Belanjawan 2027.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, perkara itu antara permintaan kementerian itu kepada Kementerian Kewangan (MOF), khususnya dalam menghadapi cabaran peningkatan harga minyak dunia dan tekanan kos sara hidup susulan krisis geopolitik di Asia Barat.

Beliau berkata antara perkara yang diberi perhatian termasuk subsidi bahan api menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), subsidi minyak masak serta program penyeragaman harga barang di Sabah dan Sarawak.

“Paling penting bagi kita sekarang dalam keadaan cabaran yang begitu besar, permintaan kita kepada MOF adalah supaya subsidi kepenggunaan, subsidi bantuan tunai dan bantuan sosial itu dapat kita pertahankan.

“Kita meminta kerajaan dapat mempertahankan perkara-perkara asas, kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pun telah menyebut bahawa antara komponen paling penting dalam Belanjawan 2027 ialah membabitkan isu kos sara hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media sebelum menyempurnakan Majlis Perasmian Festival Jom Malaysia di Stadium Negeri di sini, hari ini.

Sementara itu, Armizan berkata, meskipun berdepan peningkatan perbelanjaan subsidi, reformasi penyasaran subsidi yang dilaksanakan kerajaan membolehkan bantuan kepada rakyat terus dikekalkan.

Katanya, KPDN turut berharap bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dapat diteruskan.

Menurutnya, tekanan terhadap ruang fiskal kerajaan ketika ini antara cabaran utama dalam penyediaan Belanjawan 2027, susulan peningkatan kos subsidi bahan api.

“Dalam Belanjawan 2026, sebenarnya peruntukan untuk subsidi bahan api hanyalah RM15 bilion, tetapi sekarang ini hampir mencecah RM40 bilion ruang fiskal yang perlu digunakan untuk subsidi bahan api.

“Pertambahan hampir mencecah tiga kali ganda. Jadi, itu antara cabarannya,” katanya.

Katanya, pelaksanaan penyasaran subsidi membolehkan kerajaan mengekalkan kuota asas bahan api pada harga lebih rendah untuk rakyat, walaupun berdepan turun naik harga minyak dunia.

Beliau berkata, pendekatan sama turut membolehkan subsidi minyak masak paket dikekalkan meskipun harga minyak sawit mentah (CPO) kini berada pada paras tinggi. – TVS

Read Entire Article