Lelaki hilang ditemukan maut di celahan batu di Bau

53 minutes ago 4
ADVERTISE HERE

BAU, 19 Sept: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak 16 September lalu ditemukan meninggal dunia di kawasan berbukit berhampiran rumahnya di Kampung Fairy Lorong 5, di sini, hari ini.

Mangsa, Clement Chimiet Condos, 29, dilaporkan keluar dari rumah menuju ke kebun milik keluarganya kira-kira jam 10 pagi pada 16 September lalu.

Bagaimanapun, mangsa tidak pulang selepas tempoh perjalanan ke kebun yang mengambil masa kira-kira 30 minit, menyebabkan ahli keluarga menjalankan usaha mencari sebelum laporan polis dibuat.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) diteruskan pada hari ketiga bermula jam 8.10 pagi dengan pasukan pencari dipecahkan kepada dua seksyen membabitkan kawasan sungai, bawah bukit dan kawasan berbukit.

“Operasi turut disertai anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung, selain bantuan Unit K9 serta Unit Drone Polis.

“Pada kira-kira jam 2.50 petang, mangsa ditemukan kira-kira 500 meter dari rumahnya, berada pada ketinggian sekitar 20 meter di celahan batu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pasukan bomba kemudian menjalankan kerja menurunkan mangsa menggunakan pengusung (stretcher) sebelum mangsa yang telah meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi SAR dikawal pada jam 4.29 petang dan ditamatkan pada jam 4.30 petang selepas mangsa berjaya ditemukan. -TVS

Read Entire Article