ADVERTISE HERE
BETONG, 24 Sept: Potensi pelancongan berasaskan komuniti di Betong dilihat mampu membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat setempat termasuk dalam bidang keusahawanan dan penyediaan produk pelancongan.
Ketua Program Pengembaraan Pelancongan, Kolej Komuniti Betong, Nurhafeezha Ali berkata, pelancongan berasaskan komuniti merupakan antara kursus yang ditawarkan bagi memberi pendedahan kepada pelajar bukan sahaja sebagai pemandu pelancong, malah berpotensi menjadi usahawan.
Menurutnya, antara potensi yang boleh diketengahkan ialah rumah panjang di sekitar Betong yang boleh dibangunkan sebagai penginapan atau inap desa kepada pengunjung.
“Sebagai contoh, menerusi program Sarawakku Sayang, saya dapat melihat antara potensi yang boleh diketengahkan ialah banyak rumah panjang yang boleh dijadikan sebagai salah satu penginapan.
“Dari situ, saya sudah memberi idea kepada pelajar untuk menghasilkan pakej pelancongan. Kita juga mempunyai tempat menarik seperti air terjun atau kawasan perkhemahan yang boleh menawarkan aktiviti seperti melihat bintang (stargazing) serta konsep kembali kepada alam semula jadi dan ‘healing’ yang menjadi trend sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS pada Program Sarawakku Sayang di Betong.
Nurhafeezha menjelaskan, sambutan terhadap perayaan Gawai turut memperlihatkan potensi besar pelancongan berasaskan komuniti apabila beberapa rumah panjang dipilih sebagai lokasi sambutan dan menerima kehadiran pengunjung.
Katanya, pelancong dari dalam dan luar kawasan datang ke Betong untuk menyaksikan sendiri sambutan Gawai serta merasai pengalaman bersama komuniti setempat.
“Perayaan Gawai di Betong amat popular dan ramai pengunjung datang ke Betong sendiri,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kursus berkenaan sebelum ini ditawarkan di Kuching, namun permintaan serta potensi sektor pelancongan di Betong mendorong usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap peluang yang terdapat di kawasan berkenaan.
Selain Kolej Komuniti Betong, program sama turut ditawarkan di Kolej Komuniti Sibu.
Nurhafeezha berkata, pihaknya juga baru selesai melaksanakan proses pemurnian kurikulum bersama pemain industri bagi memastikan kandungan kursus kekal relevan dengan keperluan semasa sektor pelancongan.
Menurutnya, proses itu melibatkan penelitian terhadap kursus sedia ada dan kesesuaiannya dengan proses pengajaran dan pembelajaran serta permintaan industri.
“Kami akan menjemput beberapa panel seperti pemandu pelancong, ejen pelancongan dan usahawan untuk melihat kembali kurikulum yang sedia ada,” jelasnya.-TVS

9 hours ago
5








English (US) ·