BPSB diberi mandat kendali Pelabuhan Bintulu selama 30 tahun

4 hours ago 11
ADVERTISE HERE

BINTULU, 22 Sept: Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) memasuki fasa baharu apabila anak syarikat milik penuhnya, Bintulu Port Sdn Bhd (BPSB) diberi mandat mengendalikan Pelabuhan Bintulu selama 30 tahun sehingga 31 Ogos 2056.

Setiausaha Kerajaan Sarawak yang juga Pengerusi BPHB, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, mandat berkenaan menyediakan kerangka operasi jelas dan kepastian jangka panjang kepada kumpulan itu untuk meneruskan pertumbuhan dan transformasi Pelabuhan Bintulu.

Menurutnya, pelantikan BPSB sebagai pengendali Pelabuhan Bintulu berkuat kuasa pada 1 September lalu, susulan pemulangan rasmi pelabuhan itu kepada Sarawak.

“Pelantikan ini adalah untuk tempoh 30 tahun dan akan berakhir pada 31 Ogos 2056.

“Ia memberi asas yang kukuh kepada BPHB untuk merancang pembangunan serta operasi Pelabuhan Bintulu bagi jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Makan Malam Apresiasi BPHB di sini, malam tadi.

Abu Bakar menjelaskan, pemulangan rasmi Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak pada 16 September lalu selepas 48 tahun di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan merupakan antara detik penting dalam sejarah pelabuhan berkenaan.

Menurutnya, perkembangan itu turut menjadi antara pencapaian penting sepanjang tempoh kepimpinan Dato Ruslan Abdul Ghani sebagai Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif (Kumpulan) BPHB sebelum menamatkan perkhidmatannya selepas tiga tahun menerajui kumpulan berkenaan sejak Mac 2023.

Katanya, sepanjang tempoh kepimpinan Ruslan sejak menyertai BPHB pada September 2022, syarikat mencatat kemajuan dalam beberapa bidang termasuk pendigitalan, keselamatan dan operasi.

Abu Bakar turut merakamkan penghargaan kepada Ruslan atas sumbangan, visi dan dedikasinya sepanjang menerajui BPHB.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengalu-alukan pelantikan Anuar Ismail sebagai Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif (Kumpulan) BPHB yang memulakan tugas pada 17 Ogos lalu.

Menurutnya, Anuar mempunyai pengalaman lebih 35 tahun dalam bidang kepimpinan, strategi dan operasi serta komited meneruskan hala tuju BPHB untuk menjadikan Pelabuhan Bintulu sebagai pelabuhan pintar, tangkas dan hijau menjelang 2030.-TVS

Read Entire Article