Dua warga asing ditahan bersembunyi dalam longkang di Kuching

1 week ago 15
ADVERTISE HERE

KUCHING, 22 Sept:

Cubaan seorang lelaki dan seorang wanita warga asing meloloskan diri dengan bersembunyi di dalam longkang gagal apabila mereka dikesan dan ditahan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak menerusi Ops Selera dan Ops Kutip.

Operasi yang dijalankan dari jam 10 pagi hingga tengah malam tadi itu melibatkan pemeriksaan di tujuh lokasi sekitar Westfield Points, Jalan Tun Hussein Onn, Pekan Batu 10 dan Kota Sentosa.

Lokasi berkenaan membabitkan premis kedai makan serta kedai-kedai yang disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian.

Menurut kenyataan JIM Sarawak, sepanjang operasi, beberapa cubaan melarikan diri turut dikesan, termasuk tindakan dua warga asing yang memilih longkang sebagai lokasi persembunyian.

“Bagaimanapun, cubaan itu gagal apabila anggota operasi berjaya mengesan kedudukan mereka sebelum kedua-duanya ditahan untuk tindakan lanjut.

“Secara keseluruhan, seramai 48 individu diperiksa dan 43 ditahan, manakala satu saman saksi turut dikeluarkan,” kata kenyataan itu.

Operasi berkenaan dilaksanakan berdasarkan maklumat aduan awam serta hasil risikan JIM Kuching.

Kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan dibawa untuk siasatan lanjut.

JIM Sarawak akan meneruskan operasi penguatkuasaan berasaskan risikan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen. -TVS

Read Entire Article