ADVERTISE HERE
KUCHING, 24 Sept: Kira-kira 350 delegasi, termasuk 100 peserta antarabangsa, dijangka menghadiri Persidangan Pendidikan Alam Sekitar (EEC) 2026 yang akan berlangsung pada 27 dan 28 Oktober 2026.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, persidangan bertemakan “Memperkasa Generasi Masa Depan Melalui Literasi Alam Sekitar” itu akan menjadi wadah untuk melengkapkan generasi muda dengan pengetahuan, nilai dan kemahiran bagi menangani cabaran alam sekitar serta isu kelestarian.
“Persidangan ini bertujuan meningkatkan kapasiti pendidik, institusi dan pengamal melalui pertukaran pengetahuan berkualiti tinggi, pendedahan teknikal serta pendekatan pembelajaran alam sekitar berasaskan pengalaman dan tempat.
“Pada masa sama, ia mengeratkan hubungan antara institusi pendidikan, agensi kerajaan, akademia, pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti dalam usaha bersama ke arah kelestarian,” katanya pada sidang media sempena EEC di sini, hari ini.
Beliau berkata EEC 2026 turut memberi tumpuan kepada usaha melahirkan pemimpin muda yang mampu menerajui penjagaan alam sekitar, di samping menyemai kesedaran berterusan menerusi pendidikan berkualiti.
Antara hasil yang diharapkan ialah penyediaan input asas dan cadangan strategik bagi memandu hala tuju pendidikan alam sekitar pada masa hadapan.
Persidangan itu juga dijangka meningkatkan pengetahuan pendidik dan pengamal mengenai kelestarian, perubahan iklim serta keutamaan alam sekitar Sarawak, selain memperkasa kemahiran dalam pembelajaran berasaskan pengalaman, berasaskan tempat dan pendidikan alam sekitar antara disiplin.
“Kita juga mahu menggalakkan penerapan konsep kelestarian dan tema alam sekitar dalam kurikulum sekolah, program serta aktiviti kokurikulum,” katanya.
Seramai 250 delegasi tempatan terdiri daripada guru, wakil NGO, sektor swasta dan agensi kerajaan dijangka menyertai persidangan itu, bersama 100 delegasi antarabangsa termasuk penceramah.
Antara organisasi antarabangsa yang terlibat ialah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), National Geographic dan World Wide Fund for Nature (WWF).
EEC 2026 dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak (MUDeNR), Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak serta Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak.
Persidangan dua hari itu akan dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan menampilkan lima sesi pleno mengenai isu alam sekitar tempatan, trend global, pendidikan untuk planet serta pembentukan pemimpin hijau bagi menghadapi perubahan iklim. – TVS

58 minutes ago
3








English (US) ·