ADVERTISE HERE
KUCHING, 22 Sept: Empat pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak akan memasuki kawasan belantara Borneo selama empat hari bagi menguji tahap kesiapsiagaan, ketahanan fizikal serta kemahiran menyelamat anggota.
Persediaan akhir misi itu dimulakan menerusi sesi penyampaian Perintah Operasi Latihan Mencari dan Menyelamat (EK-SAR) JKDNKA Briged Sarawak PGA di Kuching, semalam.
Perintah operasi disampaikan Pegawai Pemerintah Batalion 11 PGA Batu Kawa, Superintendan Ku Majidin Che Ku Jusoh yang turut bertindak sebagai Pegawai Medan EK-SAR 2026 JKDNKA Briged Sarawak PGA.
Menurutnya, misi selama empat hari itu bertujuan menguji penguasaan ilmu dan kemahiran SAR yang diperoleh anggota sepanjang siri latihan sebelum ini.
“Sepanjang latihan, setiap pasukan akan berdepan cabaran sebenar persekitaran hutan Borneo, termasuk mengaplikasikan kemahiran navigasi, teknik menyelamat dan pengurusan kecemasan.
“Latihan ini turut menekankan ketepatan tindakan serta kerjasama berpasukan dalam menghadapi situasi mencabar di kawasan belantara,” katanya.
Beliau berkata, tempoh empat hari di belantara Borneo itu menjadi medan untuk menguji sejauh mana ilmu, kemahiran dan tahap kesiapsiagaan anggota dapat diterjemahkan ketika berdepan cabaran sebenar.-TVS

4 hours ago
8








English (US) ·