ADVERTISE HERE
KUCHING, 17 Dis: Seramai empat remaja lelaki ditahan kerana menunggang motosikal secara merbahaya dalam ‘Op Samseng Jalanan’ malam tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Merbin Lisa berkata keempat-empat remaja berusia 18 dan 19 tahun terbabit dikesan melakukan aksi ‘superman’ dan ‘wheelie’ dalam operasi tersebut yang dilakukan di Jalan Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yaakub.
Katanya, operasi dilakukan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Kuching bermula dari jam 8 malam.
“Suspek empat orang lelaki ditahan untuk siasatan lanjut kerana melakukan aksi ‘superman’ iaitu mengangkat kedua-dua kaki lurus ke belakang dan aksi ‘wheelie’ iaitu mengangkat tayar hadapan.
“Kedua-dua aksi tersebut amatlah berbahaya untuk diri sendiri dan pengguna jalan raya lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya, kesemua remaja terbabit dibawa ke IPD Kuching dan motosikal mereka turut disita untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda dari RM5,000 hingga RM15,000 dan penjara tidak kurang dari lima tahun serta hilang kelayakan lesen sehingga lima tahun.
Selain itu, seramai 43 buah kenderaan dan 47 orang diperiksa sepanjang operasi tersebut.
Hasil pemeriksaan tersebut, sebanyak 24 keping saman atas pelbagai jenis kesalahan telah dikeluarkan.
“Op Samseng Jalanan akan dijalankan secara berterusan bagi mengesan pemandu atau penunggang yang memandu atau menunggang secara merbahaya,” katanya. — DayakDaily