ADVERTISE HERE
KUCHING, 26 Sept: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) menyertai Program Hari Cuci Malaysia 2026 – Program Pembersihan Mega sempena World Cleanup Day yang dianjurkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), hari ini.
Program yang berlangsung di Flat Taman Sri Harmoni, Matang itu dilaksanakan dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rukun Tetangga (JKRT) Taman Sri Harmoni.
Menurut kenyataan MPP, antara aktiviti yang dijalankan ialah gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran, Kempen Beli Barangan Balik atau Buy Back Campaign yang melibatkan barangan kitar semula serta barangan elektrik dan elektronik.
“Turut diadakan jualan minyak masak terpakai oleh penduduk setempat sebagai usaha menggalakkan pengurusan sisa yang lebih bertanggungjawab.
“Program berkenaan bukan sahaja memberi tumpuan kepada aspek kebersihan persekitaran, malah menggalakkan masyarakat mengamalkan kitar semula dan menjaga kebersihan kawasan kediaman secara berterusan,” kata kenyataan itu.
Menurut MPP, penglibatan komuniti amat penting dalam mewujudkan persekitaran yang bersih, selesa dan mampan, selain memupuk kesedaran bahawa kebersihan merupakan tanggungjawab bersama.
MPP turut merakamkan penghargaan kepada JKRT Taman Sri Harmoni serta penduduk setempat atas kerjasama dan penyertaan dalam menjayakan program berkenaan. -TVS

4 days ago
22








English (US) ·