Hari Malaysia: Semangat kebersamaan perlu terus dizahirkan

4 hours ago 9
ADVERTISE HERE

KUALA LUMPUR, 14 Sept: Semangat kebersamaan sempena sambutan Hari Malaysia perlu terus dizahirkan bagi memastikan penghayatan terhadap pembentukan Malaysia tidak hanya tertumpu kepada sambutan Hari Kebangsaan.

Penolong Pengarah Bahagian Media Siber Jabatan Penerangan M. Yokananthini berkata 31 Ogos memperingati peristiwa kemerdekaan Tanah Melayu manakala 16 Sept pula pembentukan Malaysia pada 1963 dengan kedua-dua tarikh mempunyai makna sejarah yang berbeza.

“Perkara itu sangat penting… kalau dikatakan kebersamaan itu, kita tidak hanya ingin tengok pada 31 Ogos disambut dengan meriah tetapi 16 Sept tidak begitu meriah… sepatutnya, sambutan sangat meriah hingga 16 Sept,” katanya ketika menjadi tetamu program Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV hari ini.

Beliau berkata sambutan Hari Malaysia turut diadakan di negeri-negeri lain dan tidak hanya tertumpu di Sabah serta Sarawak.

“Tahun lepas di Pulau Pinang, tahun ini di Sarawak… tahun depan mungkin di negeri lain,” katanya.

Menjelang kemuncak sambutan pada 16 Sept, pelbagai pengisian kebudayaan disediakan termasuk pocket show dari 14 hingga 16 Sept yang menampilkan persembahan kebudayaan dan tarian etnik suku kaum Sarawak sebanyak tiga kali sehari di Plaza Merdeka.

Yokananthini berkata pop-up berskala kecil turut diadakan di 10 bahagian di Sarawak selain persembahan silat, kumpulan hadra, gendang pampat dan tarian singa sebagai simbolik keharmonian serta perpaduan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Beliau turut menyeru rakyat Malaysia supaya memainkan peranan sebagai duta perpaduan dengan mengibarkan bendera negara menerusi inisiatif Satu Rumah, Satu Jalur Gemilang selain menghasilkan kandungan positif, inspirasi dan patriotik menerusi platform digital seperti TikTok, Instagram serta YouTube.

Sambutan itu turut disiarkan secara langsung menerusi RTM TV1, RTM Klik dan platform digital rasmi termasuk Facebook Jabatan Penerangan Malaysia serta Merdeka 360.

Kemuncak sambutan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching pada 16 Sept bakal menampilkan barisan artis termasuk Faizal Tahir dan Stacy serta kira-kira 50 lagi selain acara simbolik menandatangani buku berkaitan pembentukan Malaysia yang akan disimpan di Arkib Negara Malaysia Negeri Sarawak. – TVS

Read Entire Article