ADVERTISE HERE
KUCHING, 23 Sept: Persidangan Antarabangsa Seni Gunaan dan Kreatif (ICACA) Ke-8 2026 memperkukuh peranan seni dalam pelbagai sektor termasuk pendidikan, pelancongan, inovasi, ekonomi kreatif dan kesejahteraan masyarakat.
Isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berkata, seni gunaan dan kreatif bukan sahaja berperanan dalam memelihara budaya, malah mempunyai sumbangan penting terhadap pembangunan pelbagai bidang.
“Seni gunaan dan kreatif memainkan peranan penting dalam masa depan kerana bukan sahaja membantu memelihara budaya, malah menyumbang kepada pendidikan, pelancongan, inovasi, ekonomi kreatif dan kesejahteraan masyarakat.
“Sehubungan itu, persidangan seperti ICACA penting sebagai platform untuk menghimpunkan pelbagai pihak bagi bertukar pandangan, berkongsi ilmu serta membuka peluang kerjasama yang boleh diteruskan selepas persidangan berakhir.
“Dalam ICACA 2026, peserta turut digalakkan untuk memikirkan bukan sahaja tentang apa yang dihasilkan, tetapi juga tujuan dan sebab sesuatu karya itu dihasilkan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran International Conference Of Applied And Creative Arts (ICACA) 2026 di Kota Samarahan pada Rabu.
Beliau berkata, penerapan unsur budaya dalam bentuk atau pendekatan baharu perlu mengambil kira asal-usul serta menghargai komuniti yang mewarisinya.
Menurutnya, inovasi dalam bidang seni seharusnya memperkukuh nilai dan makna budaya, bukannya menghakis identiti serta warisan yang terkandung di dalamnya.
ICACA 2026 dianjurkan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menerusi Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah dan Institut Seni Indonesia Yogyakarta.
Persidangan itu turut mendapat sokongan berterusan PETRONAS Sarawak serta penaja lain termasuk Majlis Seni Sarawak, Majlis Kraf Sarawak dan BE Sarawak.
Sebanyak 42 pembentangan secara fizikal dan dalam talian ditampilkan menerusi persidangan berkenaan dengan penyertaan dari Malaysia, Indonesia, China, United Kingdom dan Oman. -TVS

1 hour ago
6








English (US) ·