IPCC jadi mekanisme semak imbang bebas PDRM

58 minutes ago 3
ADVERTISE HERE

KUCHING, 23 Sept: Penubuhan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) memberi mekanisme semak dan imbang bebas dalam menangani isu integriti Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk menerima dan menyiasat aduan awam tanpa campur tangan pihak polis.

Timbalan Pengerusi IPCC, Martina @ Kartina Zamhari berkata, suruhanjaya itu beroperasi secara bebas daripada struktur PDRM bagi memastikan wujud mekanisme check and balance yang telus dalam menangani isu integriti pasukan keselamatan berkenaan.

Beliau menjelaskan bahawa penubuhan IPCC di bawah Akta Suruhanjaya Bebas Tata Kelakuan Polis 2022 (Akta 839) yang mula beroperasi pada 1 November 2023, memberi mandat khusus kepada suruhanjaya tersebut untuk menerima dan menyiasat aduan awam secara berdikari.

“Setakat ini, IPCC telah merekodkan sekitar 1,700 aduan awam merangkumi pelbagai isu seperti salah guna kuasa, penggunaan kekerasan, kecuaian tugas, serta dakwaan rasuah dan peras ugut.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 14 hingga 16 peratus merupakan aduan secara bersemuka, termasuk pengadu yang sanggup terbang dari jauh seperti Tawau ke pejabat kami di Putrajaya demi mengemukakan maklumat,” katanya dalam program Dialog TVS baru-baru ini.

Martina berkata, walaupun PDRM mempunyai Jabatan Integriti dan Kepatuhan Standard (JIPS) bagi kawal selia dalaman, IPCC bertindak sebagai badan berkanun Persekutuan yang melaporkan hasil kerja dan penemuannya secara terus kepada Parlimen setiap tahun.

Menurut beliau, setiap siasatan dijalankan secara objektif oleh Pegawai Penyiasat (IO) suruhanjaya itu sendiri tanpa campur tangan pihak polis, membabitkan semua peringkat keanggotaan daripada pangkat rendah hingga pegawai tertinggi.

Hasil siasatan berfakta akan dirumuskan menerusi Laporan Dapatan Siasatan (LDS) yang mengandungi syor tindakan disiplin bersesuaian mengikut tahap keseriusan kes, seperti amaran, denda, lucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun pangkat, mahupun buang kerja.

“Mesej kita jelas kepada seluruh warga PDRM bahawa tindakan tegas akan disyorkan terhadap mereka yang didapati bersalah.

“Namun pada masa sama, rekod menunjukkan majoriti anggota polis sebenarnya menjalankan tugas dengan penuh dedikasi, dan kes salah laku hanya melibatkan sebilangan kecil iaitu sekitar tiga peratus sahaja,” ujarnya.

Dalam pada itu, Martina menegaskan bahawa peranan IPCC tidak tertumpu kepada siasatan salah laku semata-mata, sebaliknya Seksyen 4 Akta 839 turut meletakkan tanggungjawab kepada suruhanjaya untuk menasihati kerajaan mengenai kesejahteraan warga PDRM.

Menerusi sesi libat urus di pelbagai formasi polis seluruh negara, IPCC mendapati sesetengah balai, kuarters kediaman, dan logistik pengangkutan masih berada dalam keadaan daif serta memerlukan peruntukan penyelenggaraan yang besar.

“Di sesetengah kawasan, anggota polis berdepan kekangan fasiliti dan peralatan tugas yang sudah usang.

“Melalui kuasa yang ada, kami mengumpul data dan maklumat untuk disalurkan kepada pihak berkuasa dan Pesuruhjaya Polis Negeri supaya tindakan susulan serta peruntukan perbaikan dapat disalurkan demi kebajikan anggota,” katanya lagi.

Beliau menambah, awam yang mempunyai maklumat lengkap mengenai salah laku atau isu prasarana balai polis setempat boleh mengemukakan aduan rasmi menerusi portal i-SPIKS atau hadir terus ke pejabat IPCC, dengan jaminan bahawa setiap aduan bersasaskan fakta akan disiasat secara saksama.- TVS

Read Entire Article