ADVERTISE HERE
SARIKEI, 22 Sept: Pembinaan jalan penghubung antara Nyelong By-Pass dan Kwong Ming Minah sepanjang kira-kira dua kilometer dijangka memudahkan pergerakan penduduk serta mempertingkat jaringan perhubungan di kawasan berkenaan.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, jalan itu akan menjadi laluan alternatif bagi membantu mengurangkan kesesakan, selain melancarkan pergerakan penduduk dan pengguna jalan raya.
Menurutnya, kemudahan berkenaan turut dijangka memberi kesan positif terhadap perkembangan kawasan sekitar menerusi peningkatan akses dan hubungan antara kawasan penempatan.
“Usaha ini adalah antara langkah yang saya ambil bagi meningkatkan kemudahan serta kesejahteraan penduduk, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Repok.
“Dengan adanya jalan baharu ini, jarak dan tempoh perjalanan dapat dikurangkan, sekali gus mewujudkan sistem perhubungan yang lebih baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Pesta Tanglung anjuran Persatuan Klan Lin Bahagian Ketiga, Keenam dan Ketujuh Sarawak, di sini, semalam.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerja menaik taraf Jalan Nyelong By-Pass sepanjang kira-kira 3.6 kilometer turut dilaksanakan, termasuk pelebaran laluan kepada empat lorong dua hala.
Menurutnya, projek berkenaan penting bagi meningkatkan kapasiti jalan, melancarkan aliran trafik serta memperkukuh keselamatan pengguna.
Tiong Sii yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan ADUN Repok berkata, pelaksanaan kedua-dua projek itu diyakini dapat memperkemas infrastruktur pengangkutan serta menyokong pertumbuhan Sarikei pada masa hadapan.
Pada masa sama, beliau menyifatkan pesta tanglung sebagai platform bermakna untuk mengeratkan hubungan sesama ahli persatuan, memupuk semangat kekeluargaan serta mengekalkan warisan budaya untuk diwarisi generasi akan datang.-TVS

1 hour ago
3








English (US) ·