ADVERTISE HERE
KUCHING, 3 Dec: Sarawak akan membina jalan sepanjang 4.6 kilometer (km) dari persimpangan Jalan FAC menuju ke Tebingan Sungai Telaga Air.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ia bakal memacu ekonomi masyarakat setempat dengan kehadiran pengunjung yang lebih ramai.
“Pembinaan ini merupakan antara rancangan kerajaan untuk memastikan laluan ke lokasi tersebut lebih mudah pada masa akan datang.
“Ia juga bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas terutamanya pada musim perayaan atau sambutan acara yang diadakan di kawasan tersebut,” katanya di Majlis Perasmian Pesta Regatta Telaga Air pada Jumaat.
Tambah Dr Abdul Rahman yang juga Adun Pantai Damai, kerajaan telah menyusun pelbagai program pembangunan khusus bagi mempromosi Telaga Air sebagai kawasan pelancongan.
Katanya, kawasan tersebut memiliki pelbagai keunikan dan keindahan alam semulajadi.
“Dengan keunikan yang ada di kawasan ini termasuk sajian makanan laut, pemandangan sungai dan gunung serta lain-lain, kawasan ini berpotensi untuk diangkat sebagai satu kawasan pelancongan kelak,” katanya.
Menurut beliau lagi, Pesta Regatta Telaga Air 2023 merupakan satu langkah signifikan untuk mengangkat lokasi tersebut sebagai kawasan pelancongan.
“Regatta ini dapat mendedahkan pelawat luar negeri terhadap kawasan ini selain memberi manfaat khususnya kepada penduduk setempat,” kata Dr Abdul Rahman. — DayakDaily