Jangan buang masa rakyat dengan langkah untuk ‘tebuk atap’

10 months ago 98
ADVERTISE HERE

PUTRAJAYA: Hentikan tindakan yang membuang masa rakyat dengan pelbagai langkah untuk membentuk kerajaan ‘tebuk atap’, tegas Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata langkah ‘tebuk atap’ hanya akan mengalihkan perhatian rakyat daripada pelbagai manfaat yang diperoleh menerusi projek serta rancangan yang disusun oleh kerajaan MADANI.

Bercakap dalam sidang media selepas Majlis Amanat Tahun 2024 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini hari ini, Ahmad Zahid berkata waktu berpolitik sewajarnya telah tamat dan pembangkang juga wajar bersama-sama memainkan peranan membina semula negara ini.

“Dalam tempoh empat tahun ini, kita sama-sama bina negara ini semula yang sudah rosak selama satu penggal..., apabila ada tiga perdana menteri dalam satu penggal yang mengetuai negara kita, tidak ada hasil yang baik untuk rakyat ketika itu,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan terdapat usaha mewujudkan kerajaan ‘tebuk atap’, antaranya menerusi apa yang dinamakan Langkah Dubai.

Langkah Dubai merujuk kepada pendedahan Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Datuk Ismail Yusop Sabtu lepas, yang mendakwa kewujudan satu gerakan yang cuba menjatuhkan kerajaan timbul sewaktu percutian pemimpin pembangkang dan tokoh-tokoh dari pihak kerajaan, di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

Ahmad Zahid seterusnya menegaskan bahawa akaun bersumpah tidak lagi sah atau relevan untuk melakukan gerakan ‘tebuk atap’ kerana adanya Akta Anti Lompat Parti atau Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 (Akta A1663).

“Kini keputusan besar mesti dibuat oleh parti.. kalau mahu menukar (sokongan), ia mesti dibuat secara en bloc,” katanya

Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022, yang mempunyai peruntukan melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti, berkuat kuasa pada 5 Okt 2022 selepas diluluskan Dewan Rakyat pada 28 Julai tahun sama. - Bernama

Read Entire Article