ADVERTISE HERE
MIRI, 14 Sept: Mendiang jururawat Perkhidmatan Doktor Udara (FDS), Jessie Paya Jok, 44, yang terkorban dalam nahas helikopter di Long Lellang, Baram, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Borneo Evangelical Mission (BEM), Lambir, di sini petang tadi.
Mendiang dikebumikan sekitar jam 4.55 petang dalam suasana penuh kesedihan, dengan ahli keluarga, rakan seperjuangan serta masyarakat hadir memberikan penghormatan terakhir.
Tangisan dan kesedihan jelas menyelubungi sesi pengebumian ketika jasad mendiang disemadikan selepas upacara penghormatan terakhir.
Ibu mendiang, Mujan Ngau, 59, yang ditemui selepas upacara pengebumian, menyifatkan Jessie sebagai seorang anak yang sangat baik, penyayang dan tidak pernah menyakiti hatinya.
Beliau berkata, Jessie juga sentiasa membantu menguruskan kerja di rumah selepas pulang bekerja serta tidak pernah merungut.
“Saya sangat menyayangi arwah. Arwah tidak pernah memarahi saya atau melontarkan kata-kata yang kurang baik kepada saya,” katanya.
Beliau turut menerima pemergian Jessie sebagai ketentuan Tuhan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS di Tanah Perkuburan BEM, Lambir, hari ini.
Jessie merupakan antara lima mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter FDS di Long Lellang, Baram, pada 8 September lalu.
Selain Jessie, mangsa lain ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33, pembantu pegawai perubatan Alexson Adit Henry, 31, serta jururawat Debra Moset, 40.
Kesemua jenazah telah diserahkan kepada waris masing-masing selepas proses pengesahan identiti menerusi analisis DNA selesai pada 12 September lalu.
Kapten Zainol Afiq sebelum ini selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Forest Height, Senawang, Negeri Sembilan pada 13 September.
Dr Ainul Baraah pula dibawa pulang ke Kelantan untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Seri Kedeper, Kampung Baung, Pengkalan Chepa.
Sementara itu, Alexson Adit Henry selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Anglican Lambir, Miri, hari ini selepas upacara penghormatan terakhir di Gereja Good Shepherd, Lutong.
Jenazah Debra Moset pula dibawa pulang ke Kampung Semadang, Padawan, Kuching untuk dikebumikan di sana.
Nahas berlaku sekitar jam 3.40 petang pada 8 September lalu apabila helikopter FDS terhempas dan terbakar berhampiran hujung landasan Stolport Long Lellang ketika dalam penerbangan menjalankan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman.
Kelima-lima mangsa disahkan meninggal dunia dalam nahas berkenaan, manakala siasatan bagi menentukan punca sebenar kejadian masih dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB). – TVS

4 hours ago
10








English (US) ·