ADVERTISE HERE
SEBUYAU, 23 Sept: Penduduk Kampung Sagu di sini kini menikmati kemudahan asas dan prasarana yang lebih baik menerusi pelaksanaan tiga projek pembangunan bernilai keseluruhan RM2.25 juta.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi, berkata projek berkenaan merangkumi sambungan paip sistem grid air terawat, padang futsal serta dewan masyarakat lengkap dengan gelanggang badminton.
Beliau berkata, sambungan paip agihan sepanjang 6.2 kilometer dari paip utama Sistem Grid Air Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak ke Kampung Sagu disiapkan dengan kos RM1.7 juta menggunakan peruntukan Kerajaan Sarawak.
Katanya, kemudahan itu membolehkan penduduk kampung mendapat bekalan air terawat dan bersih daripada sistem grid berkenaan.
“Saya berkesempatan merasmi dan berkongsi kegembiraan penduduk Kampung Sagu yang mendapat bekalan air terawat dan bersih daripada sistem grid air JBALB Sarawak,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Julaihi berkata, penduduk Kampung Sagu turut menerima sebuah padang futsal baharu yang dibina dengan kos RM200,000 menerusi peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) beliau.
Beliau berkata, padang futsal berkenaan siap dibina lebih awal daripada jadual dan menjadi antara 26 padang futsal yang terdapat di kawasan Sebuyau.
“Padang futsal ini penting untuk kegunaan belia dan penduduk tempatan menjalankan kegiatan sukan serta bermain futsal pada masa lapang,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sebuah dewan masyarakat baharu di Kampung Sagu yang turut dilengkapi gelanggang badminton siap dibina dengan kos RM350,000 menerusi peruntukan RTP beliau.
Katanya, dengan siapnya dewan berkenaan, kawasan Sebuyau kini mempunyai 35 dewan masyarakat yang dilengkapi gelanggang badminton, selain 13 balai raya.
Beliau berkata, kemudahan itu bukan sahaja digunakan untuk aktiviti sukan, malah penting bagi pelbagai kegiatan sosial penduduk kampung dan rumah panjang termasuk sambutan perayaan serta majlis perkahwinan.
“Dewan masyarakat dan balai raya penting untuk kegunaan aktiviti sosial sesebuah kampung dan rumah panjang dari semasa ke semasa, termasuk sambutan perayaan dan majlis perkahwinan penduduk tempatan,” katanya.

1 hour ago
7








English (US) ·