Kastam Sarawak gagalkan cubaan seludup 80.35 kilogram syabu bernilai lebih RM4 juta di Bintulu

59 minutes ago 3
ADVERTISE HERE

BINTULU, 15 Sept: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menggagalkan cubaan menyeludup 80.35 kilogram dadah jenis syabu bernilai lebih RM4 juta di Bintulu.

Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Datuk Norizan Yahya berkata, dadah berkenaan dikesan disembunyikan dalam beberapa bungkusan yang diikrarkan sebagai barangan dagangan, iaitu Tofu Cat Litter.

Menurutnya, kegiatan itu terbongkar hasil pemantauan dan intipan selama 12 hari susulan maklumat risikan.

“Pada 28 Ogos lalu, sepasukan pegawai Kastam daripada Cawangan Penguatkuasaan JKDM Bintulu dan Cawangan Narkotik, Ibu Pejabat JKDM menjalankan pemantauan terhadap beberapa bungkusan yang dihantar ke sebuah premis di Bandar Bintulu.

“Bungkusan tersebut diikrarkan sebagai Tofu Cat Litter, namun hasil pemeriksaan mendapati ia mengandungi ketulan mampat yang disyaki dadah jenis syabu atau methamphetamine,” katanya pada sidang media Bilangan 9/2026 Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak di Jabatan Kastam Diraja Malaysia Bintulu, di sini, hari ini.

Keseluruhan dadah yang dirampas mempunyai berat 80,356.33 gram dengan anggaran nilai RM4,017,816.50.

Tambah beliau, modus operandi sindiket dipercayai menyamarkan bungkusan dadah sebagai barangan dagangan selain menggunakan maklumat penerima yang dipercayai tidak wujud bagi mengelakkan kegiatan itu dikesan pihak berkuasa.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1), Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan jika hukuman penjara seumur hidup dikenakan, pesalah juga hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan kepada pihak berkuasa, dengan identiti pemberi maklumat dijamin kerahsiaannya.

Rampasan berkenaan merupakan rampasan dadah terbesar di Bintulu setakat tahun ini. – TVS

Read Entire Article