Kem EPM bentuk generasi muda bebas dadah di Kabong

6 days ago 14
ADVERTISE HERE

KABONG, 24 Sept: Kem Eksplorasi Potensi Murid (EPM) Siri 2/2026 menjadi platform penting dalam membentuk generasi muda bebas dadah menerusi pendidikan pencegahan, pembentukan jati diri dan amalan gaya hidup sihat.

Program tiga hari dua malam yang berlangsung di Tanjung Kembang Lodge, Kabong itu dianjurkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sarawak dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Saratok.

Berucap pada majlis penutupan program, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, kem berkenaan memberi penekanan kepada tiga objektif utama iaitu meningkatkan kesedaran mengenai bahaya dan kesan dadah, memupuk sikap serta amalan positif dan gaya hidup sihat, selain melaksanakan intervensi awal terhadap murid berisiko.

Beliau berkata, intervensi awal oleh AADK, JPNS, PPD, pihak sekolah dan keluarga penting bagi memastikan risiko penyalahgunaan dadah dalam kalangan murid dapat dikenal pasti serta ditangani lebih awal.

“Usaha membanteras penyalahgunaan dadah perlu dilaksanakan secara bersepadu merangkumi pendidikan pencegahan, pemerkasaan komuniti, usaha menyekat kemasukan bekalan dadah, rawatan dan pemulihan serta sistem sokongan kepulihan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan mengenai perubahan trend penyalahgunaan bahan, termasuk kemunculan New Psychoactive Substances (NPS) yang boleh disamarkan dalam pelbagai bentuk produk, termasuk cecair atau peranti vape.

“Pencegahan awalan perlu dimulakan di rumah dan juga di peringkat sekolah dengan menggerakkan program serta aktiviti antidadah yang mampu menghindarkan berlakunya masalah dadah, sosial dan jenayah dalam kalangan pelajar,” katanya.

Dato Mohd Chee turut menyeru semua pihak, khususnya warga pendidik, ibu bapa dan pelajar, supaya bersama-sama AADK serta agensi strategik lain meningkatkan usaha pencegahan dadah di sekolah dan institusi pendidikan.

Beliau berharap program seumpama Kem EPM dapat meningkatkan kerjasama antara kepimpinan pendidikan, warga pendidik dan agensi berkaitan dalam membendung penyalahgunaan dadah serta gejala sosial dalam kalangan generasi muda. -TVS

Read Entire Article