Keputusan percubaan SPM SMK Bako tunjuk peningkatan

22 minutes ago 5
ADVERTISE HERE

KUCHING, 26 September: Prestasi peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bako menunjukkan peningkatan, sekali gus memberi gambaran positif menjelang peperiksaan sebenar yang bakal berlangsung Oktober ini.

Ahli Parlimen Santubong merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, keputusan berkenaan perlu dipertingkatkan lagi bagi membolehkan pelajar sekolah itu kekal mencapai keputusan yang sama atau lebih baik dalam peperiksaan sebenar.

“Saya difahamkan, di sini ada 258 pelajar yang akan mengambil SPM. Dan saya difahamkan, keputusan daripada peperiksaan percubaan (SPM) calon tahun lalu dan calon tahun ini, yang ini lebih baik dari tahun lalu,” katanya.

Nancy berkata demikian dalam ucapannya sebelum merasmikan Program Motivasi dan Bimbingan Peluang Pengajian Pelajar Sekolah Menengah anjuran Persatuan Alumni UiTM Sarawak (MITSA) yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bako, pada Sabtu.

Menyentuh program tersebut, Nancy yang juga alumni UiTM berkata, program motivasi dan bimbingan peluang pengajian yang dianjurkan di SMK Bako bertujuan memberi bimbingan serta motivasi sebagai persediaan menghadapi peperiksaan berkenaan.

Turut diberikan tumpuan dalam program berkenaan, persediaan akademik khususnya dalam mata pelajaran Matematik dan Bahasa Inggeris selain penerangan mengenai program pengajian yang ditawarkan Universiti Teknologi MARA (UiTM), termasuk syarat kemasukan bagi bidang pengajian yang berkaitan.

Ujar Nancy, pendedahan sedemikian penting bagi membantu pelajar merancang hala tuju pendidikan selepas menamatkan persekolahan, selain memberi gambaran mengenai peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. -TVS

Read Entire Article