Proses penambahan kerusi Parlimen belum bermula

19 minutes ago 1
ADVERTISE HERE

BETONG, 26 Sept: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berpandangan kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung tiada cadangan menambah jumlah kerusi Parlimen Sarawak ketika ini tidak bercanggah dengan perkara dibincangkan sebelum ini.

Sebaliknya, beliau menjelaskan, sebarang pertambahan kerusi Parlimen perlu melalui proses dan prosedur ditetapkan terlebih dahulu termasuk dibawa ke Parlimen.

Menurutnya, jumlah kerusi yang hendak ditambah akhirnya tertakluk kepada keputusan kerajaan dan proses berkaitan di peringkat Persekutuan.

“Tidak bercanggah mengikut proses. Kerajaan sudah memutuskan, kalau hendak tambah, berapa hendak ditambah itu terpulang kepada kerajaan sebab ia melibatkan Parlimen.

“Selepas itu mesti dibawa ke Parlimen dahulu. Jadi prosesnya seperti sekarang, mesti dipamerkan dan disusun semula sempadannya. Selepas itu, kalau ada bantahan, dipamerkan lagi mengikut proses,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan SPR yang menafikan laporan mengenai cadangan menambah jumlah kerusi Parlimen di Sarawak kepada angka tertentu.

SPR pada Jumaat menjelaskan bahawa ketika ini tiada cadangan untuk menambah jumlah bahagian pilihan raya Parlimen di Sarawak seperti yang dilaporkan media dan dikaitkan dengan perbincangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, setakat ini hanya syor di bawah Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Sarawak Ke-7 disediakan dan dipamerkan kepada orang ramai dari 1 hingga 30 September.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, kenyataan SPR bahawa pihaknya belum menerima cadangan penambahan kerusi Parlimen adalah selari dengan proses berkenaan kerana proses tersebut belum bermula.

“Sebab itu Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya kata beliau belum menerima kerana belum ada, proses belum bermula.

“Macam kita di negeri, apabila ada proses, barulah ia bermula. Tidak perlu dihiraukan asalkan proses berjalan,” ujarnya.

Justeru, Abang Johari menegaskan beliau tidak melihat kenyataan SPR itu sebagai bercanggah dengan pendirian atau proses berkaitan penambahan kerusi Parlimen Sarawak.

“Bagi saya tidak bercanggah. Cuma proses,” jelasnya.-TVS

Read Entire Article