ADVERTISE HERE
KUCHING, 14 Sept: Kesedaran mengenai penjagaan paliatif perlu dipupuk dalam masyarakat bagi mengubah persepsi bahawa perkhidmatan itu sekadar tempat untuk pesakit menghabiskan hari-hari terakhir kehidupan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, masyarakat sebaliknya perlu memahami bahawa penjagaan paliatif memberi penekanan kepada keselesaan, maruah dan sokongan kepada pesakit serta keluarga ketika berdepan penyakit serius.
Malah katanya, pendedahan mengenai perkara itu wajar diberikan sejak usia muda bagi membentuk nilai belas ihsan dan empati terhadap individu yang sedang berdepan penghujung hayat.
“Bawa kanak-kanak dan ajar mereka supaya mereka mempunyai rasa belas ihsan, bukannya takut.
“Kalau doktor memberitahu anda hanya mempunyai dua hari lagi untuk hidup, apa yang anda akan lakukan? Pernahkah kita memikirkan perkara itu?” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Northbank Business Exchange (NBX) di Kuching pada Isnin.
Dalam pada itu, Dr Sim turut menggalakkan ibu bapa membawa anak-anak mereka melihat sendiri bagaimana penjagaan berkenaan diberikan kepada pesakit.
Menurut beliau, realiti penjagaan akhir hayat juga perlu difahami kerana tidak semua pesakit mempunyai kemampuan atau keadaan yang membolehkan mereka menerima penjagaan di rumah bersama keluarga.
Justeru katanya, kewujudan kemudahan penjagaan paliatif menyediakan satu lagi pilihan kepada pesakit untuk menerima rawatan dan sokongan sewajarnya dalam persekitaran yang lebih selesa.
Beliau memberi contoh inisiatif penjagaan paliatif di Batu Kawa yang menurutnya menggunakan kemudahan swasta tetapi dikendalikan dengan penempatan doktor dan jururawat kerajaan bagi menjaga pesakit awam.
Dr Sim menyifatkan pendekatan berkenaan sebagai antara model unik dalam penyampaian penjagaan paliatif, khususnya kepada pesakit yang berada pada fasa akhir kehidupan.
Keperluan terhadap perkhidmatan itu dijangka terus meningkat apabila kira-kira 30,000 individu di Sarawak diunjurkan memerlukan penjagaan paliatif menjelang 2030.
Perkhidmatan penjagaan paliatif juga dijangka menjadi sebahagian daripada ekosistem Hospital Kanser Sarawak yang dirancang pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Dr Sim berkata komitmen petugas kesihatan menjadi antara faktor utama membolehkan kapasiti penjagaan paliatif di Batu Kawah ditingkatkan daripada lapan kepada 16 katil meskipun tanpa pertambahan tenaga kerja.
Menurutnya, sokongan keluarga pesakit turut membantu petugas kesihatan mengendalikan kapasiti lebih besar, sekali gus membolehkan lebih ramai pesakit mendapat akses kepada perkhidmatan berkenaan.
Bagi Dr Sim, perkara itu mencerminkan kepentingan faktor manusia dalam menentukan kualiti sesebuah sistem kesihatan.
Beliau mengambil contoh pencapaian Pusat Jantung Sarawak yang disenaraikan antara hospital khusus terbaik Asia Pasifik, dengan kejayaan itu menurutnya bukan semata-mata disebabkan kemudahan fizikal tetapi nilai dan komitmen petugasnya.
“Ia adalah mengenai manusia dan nilai yang kita bina. Sebab itulah mereka kekal di sana. Jika tidak, mereka boleh sahaja pergi ke hospital swasta dan memperoleh pendapatan lebih tinggi,” katanya.
Dr Sim berkata, imbuhan yang kompetitif tetap penting bagi mengekalkan tenaga kerja kesihatan, namun nilai kemanusiaan, dedikasi dan rasa tanggungjawab turut menjadi asas kepada sistem kesihatan berkualiti.
Katanya, perkara itu turut memperkukuh keperluan Sarawak mendapatkan autonomi kesihatan bagi membolehkan negeri mempunyai ruang lebih luas menangani keperluan tenaga kerja serta sistem penjagaan kesihatannya.
“Kerajaan Persekutuan perlu memberikan autonomi kesihatan kepada Sarawak,” katanya. -TVS

7 hours ago
5








English (US) ·