KKR perluas penggunaan BIM bagi kurangkan kos projek – Nanta

49 minutes ago 4
ADVERTISE HERE

PUTRAJAYA, 15 Sept: Kementerian Kerja Raya (KKR) akan memperluas penggunaan teknologi digital, khususnya Building Information Modelling (BIM), bagi mengurangkan kos serta mengelakkan kelewatan dalam pelaksanaan projek pembangunan fizikal.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penggunaan BIM membolehkan projek dirancang dan dilaksanakan dengan lebih efisien, cepat serta tepat, selain membantu mengenal pasti kesilapan dan pertindihan reka bentuk pada peringkat awal.

Menurutnya, langkah itu penting kerana sebarang kesilapan atau kelewatan dalam pelaksanaan projek boleh memberi implikasi kewangan kepada kerajaan.

“Kita mahu menekankan penggunaan teknologi digital dan BIM ini dalam kita melaksanakan projek-projek pembangunan fizikal, sebab ia boleh membantu kita lebih efisien, lebih cepat, lebih tepat dan menjimatkan masa.

“Itu semuanya ada implikasi kewangan dan kita harapkan kos dapat kita kurangkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Malaysia BIM Day 2026 di sini, hari ini.

Nanta berkata, KKR akan terus memperkasakan penggunaan BIM dalam industri pembinaan, termasuk dengan menyediakan kemudahan berkaitan teknologi berkenaan di seluruh negara.

Sementara itu, Ketua Setiausaha KKR, Datuk Seri Azman Ibrahim berkata, penggunaan BIM dalam projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak pada 2016 berjaya mengenal pasti dan menyelesaikan lebih 3,000 kesilapan reka bentuk.

Menurutnya, langkah itu membantu mengelakkan kelewatan projek yang dianggarkan boleh mencecah 10 tahun, selain menjimatkan kira-kira RM157 juta wang kerajaan.

Sehubungan itu, kementerian merancang menyiapkan 16 BIM Lab di setiap negeri dan wilayah di seluruh negara menjelang Disember ini bagi memperluas penggunaan teknologi berkenaan serta meningkatkan keupayaan industri.

“Kalau kita lihat kos lebih tinggi pada peringkat awal, kita tidak boleh tengok kos itu sahaja, tetapi perlu lihat apa manfaat yang kita dapat apabila menggunakan teknologi baharu ini,” katanya. -TVS

Read Entire Article