Kolaborasi Sarawak-Indonesia perkukuh bahasa dan sastera Dayak

2 hours ago 6
ADVERTISE HERE

MIRI, 23 Sept: Kolaborasi antara penggiat bahasa dan sastera daripada Sarawak dan Indonesia menerusi Wacana Bahasa dan Sastera Dayak: Dari Tradisi Lisan ke Persada Ilmu dilihat mampu memperkukuh usaha memelihara warisan bahasa serta kesusasteraan Dayak di peringkat serantau.

Ketua Jabatan Kajian Iban, Dayak Research Center Kalimantan, Indonesia, Dr. Patricia Ganing berkata, kepelbagaian latar belakang panel membolehkan perbincangan mengenai bahasa dan sastera Dayak dikembangkan daripada perspektif tradisi, penulisan, pemeliharaan alam serta perkembangan digital.

“Secara keseluruhannya, wacana pada hari ini telah berjalan dengan sangat lancar dan kita telah mengundang lima orang panel yang terdiri daripada latar belakang yang berbeza.

“Ada panel yang telah menghasilkan sebanyak 263 buah buku, selain panel yang mempunyai kepakaran dalam pemeliharaan dan hutan dari Indonesia, penulis muda serta penulis yang sangat aktif dalam bidang digital,” katanya yang ditemui TVS di Stadium Tertutup Miri, di sini, hari ini.

Menurutnya, kepelbagaian tersebut penting dalam memperluas perbincangan mengenai bahasa dan sastera Dayak supaya tidak hanya tertumpu kepada karya tradisional, tetapi turut mengambil kira perkembangan penulisan serta kaedah baharu dalam menyampaikan ilmu kepada generasi masa kini.

Pendekatan berkenaan juga tambahnya membolehkan warisan bahasa dan sastera terus diketengahkan dalam konteks semasa, khususnya menerusi penglibatan generasi muda serta penggunaan platform digital.

“Program ini bukan sahaja mengumpulkan penulis-penulis Sarawak, malah turut mengumpulkan penulis dan penggiat dari negara lain, termasuk Indonesia dan India.

“Saya melihat kolaborasi ini sebagai sebuah kerjasama yang sangat baik untuk Sarawak dan juga bahasa di Sarawak,” tambahnya.

Penglibatan penggiat dari luar Sarawak dalam festival berkenaan turut membuka ruang pertukaran pengetahuan serta pengalaman berkaitan bahasa dan kesusasteraan masyarakat Dayak.

Beliau berharap wacana seumpama itu dapat diteruskan pada edisi akan datang sebagai platform memperluas jaringan kerjasama antara penggiat bahasa, penulis dan penyelidik di Sarawak dengan rakan serantau.

Katanya, kesinambungan program sedemikian penting bagi memastikan perbincangan mengenai bahasa dan sastera Dayak terus berkembang serta dapat diwariskan kepada generasi akan datang. – TVS

Read Entire Article