KPDN kenal pasti 1,561 kes seleweng diesel dalam Op Tiris 3.0

2 hours ago 3
ADVERTISE HERE

KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,561 kes melibatkan penyelewengan diesel dikenal pasti melalui Op Tiris 3.0 yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sejak Januari hingga 19 Okt lepas.

Menteri berkenaan Datuk Armizan Mohd Ali berkata jumlah itu dikenal pasti hasil 30,634 pemeriksaan yang dijalankan di seluruh negara.

“Statistik keseluruhan meliputi serahan kes melibatkan agensi penguatkuasaan lain pula merekodkan jumlah rampasan diesel bersubsidi adalah sebanyak 13.8 juta liter dianggarkan bernilai lebih RM31 juta.

“Selain itu, setakat Januari hingga Oktober lepas, KPDN telah membuka enam kertas siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Roy Angau Anak Gingkoi (GPS-Lubok Antu) yang ingin tahu cadangan kementerian untuk mengambil tindakan tegas bagi membanteras penyelewengan diesel bersubsidi di Malaysia terutama di sempadan negara.

Armizan berkata KPDN sentiasa komited menangani penyelewengan bahan api diesel bersubsidi sejajar dengan fokus kerajaan untuk membanteras sebarang bentuk ketirisan subsidi yang sering ditegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berikutan itu, beliau berkata KPDN telah meletakkan ketangkasan penguatkuasaan sebagai antara agenda fokus bagi 2024 dengan strategi utama dilaksanakan meliputi tiga aspek iaitu penguatkuasaan, pengurusan risiko dan partisipasi masa.

“KPDN juga memperkasakan kerjasama dengan agensi penguat kuasa lain yang mempunyai bidang kuasa berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia melalui Op Tiris,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Roy Angau mengenai kempen kesedaran di rumah panjang dan kawasan sekitar sempadan Malaysia dan Indonesia bagi mendidik penduduk untuk membendung penyeludupan rentas sempadan, Armizan berkata perkara itu akan dibawa dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penstabilan Harga (JPH) di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan.

“Saya akan bawa syor tersebut dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof kerana untuk kita menangani aspek ketirisan ini bukan hanya melibatkan agensi kerajaan tetapi perlu kerjasama pihak berkepentingan dan penyertaan orang awam melalui aduan,” katanya.

Read Entire Article