Kuching City rancang aksi persahabatan berintensiti tinggi

1 hour ago 4
ADVERTISE HERE

KUCHING, 22 Sept: Kuching City FC merancang mengadakan perlawanan persahabatan berintensiti tinggi sepanjang tempoh rehat FIFA sebagai persiapan menghadapi saingan AFC Champions League Two (ACL Two) dan ASEAN Club Championship Shopee Cup.

Pengerusi Eksekutif Kuching City FC, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, pihak kelab kini mengadakan perbincangan dengan beberapa pasukan bagi mendapatkan lawan untuk aksi persahabatan berkenaan.

Menurutnya, perlawanan itu penting bagi memastikan pemain dan pegawai pasukan membuat persiapan rapi sebelum menghadapi saingan antarabangsa termasuk keperluan operasi seperti penggunaan sistem tiket bernombor yang ditetapkan penganjur.

“Kami sedang berbincang dengan beberapa pasukan dan sasaran kami adalah untuk mendapatkan dua pasukan kerana tempoh rehat FIFA berlangsung selama dua minggu.

“Kami memerlukan perlawanan yang mempunyai tahap intensiti tinggi bagi memastikan pasukan berada pada tahap terbaik,” katanya ketika ditemui media di Pustaka Negeri Sarawak, hari ini.

Bagaimanapun, Fazzrudin berkata, identiti pasukan yang bakal menjadi lawan belum dapat didedahkan kerana rundingan masih berlangsung.

“Kami belum dapat mengesahkan pasukan yang terlibat kerana proses perbincangan masih berjalan. Namun, kami menyasarkan dua pasukan daripada Semenanjung Malaysia dan negara jiran untuk mengadakan aksi persahabatan tersebut,” ujarnya.

Perlawanan seterusnya menyaksikan Kuching City akan menentang Tampines Rovers FC dari Singapura pada 7 Oktober depan dalam saingan Shopee Cup

Kuching City turut memberi tumpuan kepada aksi suku akhir kedua Piala FA menentang Kelantan City yang dijadualkan berlangsung pada 10 Oktober depan di Stadium Sarawak.

Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada perlawanan suku akhir pertama di Kota Bharu.-TVS

Read Entire Article