Lelaki ditahan selepas cuba curi komponen kenderaan di Batu Kawa

4 days ago 13
ADVERTISE HERE

KUCHING, 26 Sept: Seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam cubaan mencuri komponen roda sebuah kenderaan di sebuah bengkel di Jalan Batu Kawa, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Barry William berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.40 pagi apabila pemilik bengkel menyedari kehadiran dua lelaki mencurigakan yang dipercayai cuba mencuri komponen kenderaan di luar premis berkenaan.

Menurutnya, kedua-dua suspek kemudian melarikan diri menggunakan sebuah Perodua Myvi berwarna hitam selepas ditegur pengadu.

“Susulan kejadian itu, satu video berdurasi 29 saat yang memaparkan sebuah Toyota Hilux mengekori Perodua Myvi berkenaan di lampu isyarat Jalan Matang, Kuching, turut tular di media sosial kelmarin.

“Hasil siasatan lanjut, sepasukan polis berjaya mengesan dan merampas Perodua Myvi yang ditinggalkan di Jalan Rantau Panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan kira-kira jam 9.15 malam pada hari sama.
“Polis turut merampas sebuah kenderaan, sebuah kotak besi dan sebatang anak kunci kereta bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan, manakala polis masih menjalankan usaha mengesan dan mengenal pasti seorang lagi suspek yang terlibat,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil atau menyalurkan maklumat kepada Bilik Gerakan IPD Padawan di talian 082-862233 bagi membantu siasatan. – TVS

Read Entire Article