ADVERTISE HERE
KUCHING, 24 Sept: Seorang lelaki berusia 52 tahun maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan empat kenderaan di lampu isyarat Jalan Canna di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 7.59 malam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah Toyota Vios dari arah lampu isyarat Jalan Stutong menuju ke lampu isyarat Jalan Canna, ketika bergerak lurus di lorong kiri, melanggar bahagian belakang sebelah kanan sebuah Honda CR-V.
“Toyota Vios berkenaan kemudian masuk ke lorong kanan sebelum bergesel dengan bahagian kiri sebuah Honda BR-V.
“Kenderaan berkenaan seterusnya merempuh bahagian belakang sebuah Toyota Harrier,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, akibat kemalangan itu, pemandu Toyota Vios disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tegasnya.
Polis menyeru mana-mana orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Charlie Aloysius di talian 014-8682068 / 082-259900, atau mana-mana balai polis berhampiran. – TVS

8 hours ago
5








English (US) ·