Lelaki rugi lebih RM200,000 kerana pelaburan tak wujud

8 hours ago 3
ADVERTISE HERE

SIBU: Seorang lelaki tempatan mengalami kerugian berjumlah RM202,000 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan yang tidak wujud diterima melalui aplikasi WhatsApp pada awal bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata mangsa berusia dalam lingkungan 50-an itu, telah menerima satu pesanan melalui aplikasi tersebut daripada seorang wakil syarikat pelaburan yang menawarkan keuntungan besar.

“Seorang wakil syarikat pelaburan telah menawarkan pelaburan dengan keuntungan yang besar daripada syarikat Boci International Invesment Club membuatkan mangsa berminat menyertai pelaburan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkipli berkata mangsa kemudian telah dimasukkan ke dalam satu kumpulan di aplikasi Whatsapp, yang membincangkan mengenai pelaburan dan mangsa juga diminta untuk memuat turun satu aplikasi yang dijadikan platform bagi pelaburan tersebut.

“Bermula dari 26 Sept hingga 11 Okt 2024, mangsa telah membuat pemindahan wang sebanyak 13 kali yang secara keseluruhannya berjumlah RM202,000 ke dalam tiga akaun bank tempatan,” jelasnya.

Zulkipli berkata pada 21 Okt (Isnin) mangsa telah menghubungi semula suspek untuk bertanyakan mengenai pengeluaran keuntungan yang sudah diperolehi, namun suspek memberikan pelbagai alasan.

Berikutan itu mangsa yang berasa curiga dan tertipu mengambil keputusan membuat laporan polis pada hari yang sama untuk tindakan lanjut.

Orang ramai dinasihatkan tidak mudah percaya dengan sebarang pelaburan ditawarkan melalui apa jua platform media sosial.

Zulkipli berkata sebarang nasihat atau maklumat lanjut boleh dirujuk kepada Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dan melalui laman Facebook@Cybercrimealertrmp@jsjkpdrm.

Beliau berkata orang ramai juga boleh membuat pengesahan akaun bank dan nombor telefon yang diragui melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/.

Read Entire Article