ADVERTISE HERE
NEW YORK: Meskipun sistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kini berdepan kritikan, Algeria, Guyana, Korea Selatan, Sierra Leone dan Slovenia pada Selasa secara rasmi mengambil peranan sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB untuk tempoh dua tahun, lapor Agensi Anadolu.
Lima anggota baharu terbabit menggantikan Albania, Brazil, Gabon, Ghana, dan Emiriah Arab Bersatu yang tempoh dua tahun mereka berakhir pada 31 Dis.
Kesemua anggota baharu yang dipilih ketika Perhimpunan Agung PBB pada Jun lalu akan berkhidmat dari 1 Jan 2024 hingga 31 Dis 2025.
UNSC terdiri daripada 15 negara termasuk lima anggota tetap: China, Perancis, Rusia, Britain dan Amerika Syarikat (AS). Hanya anggota tetap mempunyai hak untuk menggunakan kuasa veto terhadap sebarang ketetapan atau keputusan.
Baki 10 kerusi diisi oleh anggota tidak tetap, dengan lima kerusi tertakluk kepada pertukaran setiap tahun.
Faktor geografi menentukan pembahagian kerusi dengan dua kerusi diperuntukkan kepada negara-negara Afrika, masing-masing satu Asia-Pasifik, Amerika Latin dan Caribbean dan Eropah Timur.
Struktur majlis itu dikecam sejak beberapa tahun kebelakangan ini ekoran lima anggota tetap itu tidak mewakili sebahagian besar dunia, serta kumpulan seperti Selatan Global dan dunia Islam.
Kuasa veto lima anggota tetap turut dikritik berikutan undian Majlis Keselamatan bagi gencatan senjata membabitkan konflik Gaza dikenakan veto oleh satu atau lebih anggotanya.–Bernama-AA