ADVERTISE HERE
MIRI, 24 Sept: Lima mahasiswa dari universiti di Sarawak mencipta pencapaian membanggakan apabila berjaya mara sebagai Top 5 National Finalist dalam URIIS Student Business Innovation Challenge 2026, pertandingan inovasi perniagaan mahasiswa peringkat kebangsaan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.
Pasukan Rising Hornbill yang diketuai mahasiswa Kejuruteraan Tenaga, Curtin University Malaysia, Loon Kai Qian, bersama pelajar dari bidang Kejuruteraan Kimia, Swinburne University of Technology iaitu Adrina Wong Wei Ni dan Leonard Wong Yu Rui serta pelajar dari Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Swinburne University of Technology, Yong Jin Rong.
Turut menganggotai pasukan ialah seorang mahasiswa bidang Psikologi dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Rita Lee Ziting.
Menurut kenyataan Champs Education hari ini, Rising Hornbill berjaya melepasi penilaian cadangan dan pembentangan di peringkat kebangsaan sebelum melangkah ke Grand Finale di World Trade Centre Kuala Lumpur.
Menerusi pertandingan itu, pasukan berkenaan mengetengahkan SawitBridge, sebuah platform Industrial Symbiosis berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang menghubungkan pekebun kecil sawit persendirian dengan pembeli sisa pertanian.
Platform itu dibangunkan bagi mengubah sisa pertanian yang kurang dimanfaatkan kepada sumber pendapatan baharu, selain menggalakkan amalan lebih telus dan mampan dalam industri sawit.
Menurut Ketua Pasukan, Loon Kai Qian, kekuatan SawitBridge turut didorong oleh komposisi pasukan yang menggabungkan kepakaran dalam bidang tenaga, kimia, elektrik dan elektronik serta psikologi.
Katanya, kepelbagaian disiplin itu membolehkan pasukan menggabungkan pembangunan teknikal dengan pemahaman terhadap cabaran sebenar yang mungkin mempengaruhi penerimaan teknologi dalam kalangan komuniti pekebun kecil.
“Ini lebih daripada sekadar satu pertandingan buat kami. Ia mengenai perbincangan, refleksi, perdebatan dan kepercayaan yang kami bina sepanjang perjalanan ini.
“Hasilnya bukan keseluruhan cerita, tetapi hubungan yang kami bina sebagai satu pasukan,” katanya.
Pencapaian itu turut memperlihatkan bagaimana kerjasama antara mahasiswa daripada latar akademik berbeza dapat menghasilkan idea yang menggabungkan teknologi, kelestarian dan keperluan komuniti. – TVS

1 day ago
8








English (US) ·