MBKS cadang parkir percuma untuk kenderaan OKU

1 hour ago 3
ADVERTISE HERE

KUCHING, 20 Sept: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) kini dalam proses menyediakan cadangan rasmi pengecualian bayaran parkir bagi kenderaan yang diletakkan di petak khas Orang Kurang Upaya (OKU) di bawah kawasan pentadbirannya.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, cadangan itu akan dibentangkan terlebih dahulu dalam Mesyuarat Penuh Majlis MBKS sebelum dikemukakan kepada Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak untuk kelulusan muktamad.

“Langkah ini merupakan antara usaha MBKS memudahkan golongan OKU yang menggunakan petak parkir khas disediakan,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Festival Kebudayaan Cheongsam Keempat 2026 di Dewan Masyarakat, Jalan Padungan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, katanya, MBKS turut mempergiat persediaan menghadapi perubahan demografi dan peningkatan populasi warga emas.

“Dua petak parkir khas untuk warga emas kini disediakan dan kemudahan itu akan diperluaskan secara berperingkat ke pusat beli-belah serta kawasan awam lain.

“Sarawak dijangka memasuki fasa masyarakat menua menjelang 2028, sekali gus memerlukan persediaan awal termasuk penambahbaikan infrastruktur dan penyediaan lebih banyak program sesuai untuk golongan warga emas,” ujarnya.

Sementara itu, Festival Kebudayaan Cheongsam Keempat 2026 turut melakar rekod dalam Malaysia Book of Records dengan penyertaan seramai 520 peserta, termasuk warga emas berusia lebih 80 tahun.-TVS

Read Entire Article