Miri jadi tumpuan persidangan geosains kebangsaan Oktober ini

1 week ago 20
ADVERTISE HERE

MIRI, 22 Sept: Miri bakal menjadi tumpuan pakar geosains tempatan dan antarabangsa apabila kira-kira 300 profesional, penyelidik, ahli akademik serta pelajar dijangka menyertai Persidangan Geosains Kebangsaan (NGC) Ke-39 dari 1 hingga 3 Oktober ini.

Persidangan di Pullman Miri Waterfront itu dianjurkan Geological Society of Malaysia (GSM) dengan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Sarawak serta Curtin University Malaysia.

NGC 2026 bertemakan ‘Innovation and Sustainable Geoscience for a Resilient Future’, dengan perbincangan memfokuskan peranan geosains dalam membentuk masa depan yang lebih berdaya tahan dan mampan.

Curtin Malaysia dalam kenyataan hari ini menyatakan, antara topik yang bakal diketengahkan ialah perubahan iklim dan risiko bencana, tenaga dan sumber mineral, air bawah tanah, pemuliharaan dan geopelancongan, geologi pantai dan marin, geofizik, aplikasi geospatial, geoteknologi serta geologi petroleum.

Persidangan itu turut disertai peserta dari Malaysia, Nigeria, Afrika Selatan, India, Brunei, Jepun, Australia, Norway dan Indonesia.

Kira-kira 165 pembentangan lisan dan poster akan dibentangkan menerusi 12 tema, sekali gus menyediakan platform kepada penyelidik dan pemain industri untuk berkongsi penemuan, teknologi serta pendekatan baharu dalam bidang geosains.

Selain persidangan utama, peserta dijadual menyertai lawatan lapangan pra-persidangan ke kawasan Bintulu pada 29 dan 30 September, manakala lawatan pasca-persidangan ke Taman Negara Niah akan diadakan pada 3 Oktober.

NGC 2026 turut diluluskan untuk memperoleh empat mata Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) oleh Lembaga Ahli Geologi Malaysia.

Majlis perasmian akan disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, yang juga Menteri Kedua Sumber Asli dan Pembangunan Bandar serta Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan.

Turut dijadual hadir ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak I (Pelancongan), Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Ketua Pengarah JMG, Datuk P. Geol. Zamri Ramli, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee, Presiden GSM, Profesor Madya Meor Hakif Amir Hassan, Pro Naib Canselor, Presiden dan Ketua Eksekutif Curtin Malaysia, Profesor Vincent Lee Chieng Chen dan Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang serta Pengerusi Jawatankuasa Penganjur NGC 2026, Jaithish John.

Penganjuran NGC 2026 dijangka memperkukuh perkongsian ilmu dan jaringan kerjasama dalam kalangan profesional geosains, selain mengetengahkan peranan bidang itu dalam menangani cabaran alam sekitar, sumber dan pembangunan di rantau ini.

Curtin Malaysia turut memaklumkan penganjuran tersebut selari dengan pengajian yang ditawarkan di universiti berkenaan iaitu program Ijazah Sarjana Muda Geologi Gunaan selama tiga tahun yang merangkumi geologi asas, sedimentologi dan stratigrafi, mineralogi dan geokimia, geofizik, Sistem Maklumat Geografi (GIS), geologi struktur, analisis lembangan, hidrogeologi serta geologi kejuruteraan. – TVS

Read Entire Article