MPOB unjur prospek lebih cerah bagi industri minyak sawit tahun ini

10 months ago 107
ADVERTISE HERE

KUALA LUMPUR: Prestasi industri minyak sawit Malaysia diunjurkan bertambah baik pada 2024, dipacu oleh bekalan tenaga kerja yang positif dan prospek harga lebih kukuh.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata harga minyak sawit mentah (MSM) tahun ini dijangka berada dalam julat RM3,900 hingga RM4,200 satu tan, disokong oleh pelaksanaan mandat biodiesel B35 di Indonesia.

Beliau berkata penawaran minyak sawit global untuk pasaran eksport mungkin berkurangan susulan pelaksanaan mandat itu, justeru, akan melonjakkan harga MSM.

“Selain itu, bekalan minyak sawit global dijangka terhad berikutan keadaan cuaca yang tidak menggalakkan pada 2023, manakala pengeluaran kacang soya mungkin masih terkekang sekurang-kurangnya sehingga April 2024.

“Stok minyak sawit Malaysia dijangka berada di bawah 2.0 juta tan, sekali gus menstabilkan harga,” katanya semasa membuat pembentangan di Seminar Tinjauan Ekonomi dan Prospek Minyak Sawit 2024 di sini, pada Khamis.

Ahmad Parveez berkata walaupun mengalami pelbagai cabaran di peringkat domestik dan global, industri minyak sawit berjaya memenuhi permintaan global untuk minyak sawit mampan.

Beliau berkata Kementerian Perladangan dan Komoditi, MPOB dan agensi berkaitan terus bekerjasama rapat bukan sahaja untuk menangani kebimbangan terhadap alam sekitar malah juga menggalakkan kestabilan ekonomi dan tanggungjawab sosial dalam industri.

Semua usaha itu akhirnya membuka jalan ke arah masa depan yang lebih mampan dan seimbang, katanya.

Beliau juga berkata insentif berjumlah RM100 juta di bawah Program Tanam Semula Kelapa Sawit 2.0 akan membantu kira-kira 1,500 pekebun kecil bebas (ISH) sawit menanam semula bagi menggantikan pokok tua atau yang tidak produktif, meliputi 5,900 hektar di seluruh negara.

Beliau berkata insentif itu bertujuan meningkatkan pendapatan pekebun kecil melalui penanaman anak benih berkualiti tinggi serta melaksanakan Amalan Pertanian Baik (GAP).

“Nilai insentif itu berjumlah RM14,000 sehektar untuk ISH di Semenanjung Malaysia dan RM18,000 sehektar bagi ISH di Sabah dan Sarawak, serta peruntukan pembersihan tanah dan pembekalan benih kelapa sawit berkualiti tinggi, baja, racun perosak dan racun herba,” katanya.

Selain itu, Ahmad Parveez berkata industri minyak sawit Malaysia mengalami prestasi bercampur-campur terutama dari segi harga pada 2023 berbanding 2022.

Bekalan yang mencukupi telah menjejaskan harga apabila turun kepada di bawah RM3,890.50 satu tan selepas mencatatkan paras tertinggi RM5,087.50 satu tan pada 2022, katanya.

Beliau berkata eksport minyak sawit juga susut 1.1 peratus disebabkan permintaan berkurangan, menyebabkan stok lebih tinggi.

Ahmad Parveez berkata eksport minyak sawit diinjurkan meningkat sebanyak 3.3 peratus kepada 15.60 juta tan pada 2024 daripada 15.10 juta tan tahun lepas, disokong oleh permintaan minyak sawit dari negara pengimport.

Nilai eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit juga diunjurkan meningkat 4.3 peratus kepada RM110 bilion pada 2024 daripada RM105 bilion pada 2023, katanya.

Beliau juga mengunjurkan pengeluaran meningkat 1.1 peratus kepada 18.75 juta tan pada 2024 daripada 18.55 juta tan pada 2023, disokong oleh kawasan tanaman matang yang dijangka bertambah, terutama di Semenanjung Malaysia dan Sarawak, di samping keadaan tenaga kerja yang lebih positif.

Pengeluaran kelapa sawit Malaysia meningkat 0.5 peratus kepada 18.55 juta tan pada 2023 daripada 18.45 juta tan pada 2022 apabila hasil tandan buah segar meningkat sebanyak 1.9 peratus tahun ke tahun kepada 15.79 tan sehektar.

Ahmad Parveez berkata stok penutup minyak sawit bagi 2023 adalah 4.1 peratus lebih tinggi iaitu 2.29 juta tan, berbanding 2.20 juta tan pada Disember 2022. -Bernama

Read Entire Article