Nancy seru masyarakat bantu OKU daftar dengan JKM

11 months ago 76
ADVERTISE HERE

KUCHING: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri menyeru semua lapisan masyarakat membantu golongan Orang Kurang Upaya (OKU) untuk berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Berucap pada majlis perasmian sambutan Hari OKU Kebangsaan dengan tema ‘Membangun OKU MADANI’ di sini, malam ini beliau berkata kelebihan pendaftaran itu membolehkan komuniti berkenaan menikmati hampir 30 kemudahan dan keistimewaan disediakan oleh kerajaan dan swasta.

“Bagi mempelbagaikan kemudahan dan keistimewaan disediakan untuk komuniti OKU, saya ingin mencadangkan agar masyarakat khususnya syarikat swasta bersama-sama menambah kepada penambahan bilangan kemudahan dan keistimewaan yang sedia ada,” katanya.

Nancy berkata setakat 31 Okt lepas, sebanyak 681,074 OKU telah berdaftar di bawah tujuh kategori ketidakupayaan menerusi janaan Sistem Pengurusan Maklumat OKU (SMOKU).

Berdasarkan jumlah berkenaan, beliau percaya masih ramai di luar sana yang tidak tahu atau belum membuat pendaftaran OKU.

“Oleh itu, pada hari ini kita membuka kaunter di lobi Hotel Waterfront untuk memberi peluang kepada mereka yang belum mendaftar dan kita berharap lebih ramai menyedari cara berdaftar,” katanya.

Mengenai Pindaan Akta Orang Kurang Upaya 2008 yang giat dilaksanakan sejak 2022, Nancy berkata setakat 31 Okt lepas, kementeriannya telah membuat semakan terhadap akta itu bersama golongan profesional melibatkan OKU.

“Ini termasuk ahli akademik, perundangan, wakil persatuan OKU dan OKU sendiri berdasarkan pendekatan multidisiplin,” katanya.

Hari OKU yang disambut bermula pada 1994 bertujuan membuktikan bahawa komuniti OKU di negara ini juga tidak ketinggalan daripada mendapat pengiktirafan daripada pihak kerajaan. - Bernama

Read Entire Article