ADVERTISE HERE
KUCHING, 14 Sept: Northbank Business Exchange (NBX) bakal menjadi sebahagian daripada ekosistem pembangunan Sarawak Health Metropolis, sekali gus menyokong pembentukan komuniti dan gaya hidup yang lebih bersepadu di kawasan berkenaan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, pembangunan bandar tidak seharusnya hanya tertumpu kepada penyediaan kediaman, sebaliknya perlu mengambil kira keseluruhan ekosistem termasuk perumahan, ruang perniagaan, pendidikan dan penjagaan kesihatan.
Menurutnya, NBX merupakan antara pembangunan sektor swasta yang melengkapi perancangan kerajaan dalam membentuk ekosistem tersebut.
“NBX akan menjadi sebahagian daripada gaya hidup dalam keseluruhan ekosistem Sarawak Health Metropolis yang sedang berkembang,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Northbank Business Exchange (NBX) di sini, hari ini.
Dr Sim berkata, pembangunan sesebuah kawasan turut memerlukan penyediaan kediaman bagi memenuhi keperluan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk tenaga kerja profesional dan bernilai tinggi.
“Kita memerlukan rumah mampu milik, tetapi pada masa sama kita juga memerlukan kediaman untuk mereka yang bekerja di pejabat bertaraf tinggi dan tenaga kerja bernilai tinggi.
“Kita perlu membangunkan keseluruhan ekosistem, daripada pendidikan, institusi swasta hinggalah kepada penjagaan kesihatan dan sebagainya. Inilah yang cuba dilakukan oleh NBX,” katanya.
Jelas beliau, pembangunan NBX secara tidak langsung menyumbang kepada pembentukan komuniti yang diperlukan bagi menyokong pertumbuhan Sarawak Health Metropolis.
Katanya, Kerajaan Sarawak selama ini telah menyediakan dasar serta pembangunan berkaitan termasuk kemudahan dan institusi dalam sektor kesihatan, farmaseutikal dan pendidikan.
Justeru, penglibatan sektor swasta penting bagi melengkapi infrastruktur serta perancangan kerajaan menerusi pelaburan dan inovasi.
Dr Sim berkata, kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta juga mampu mempercepat pembangunan serta mengoptimumkan penggunaan infrastruktur yang telah disediakan.
“Saya gembira sektor swasta memainkan peranan dan melaksanakan tanggungjawab mereka selaras dengan dasar kerajaan, sekali gus membantu kita memanfaatkan sepenuhnya infrastruktur dan perancangan yang ada.
“Melalui dasar kerajaan, pelaburan dan inovasi sektor swasta, kita bersama-sama dapat mempercepat pembangunan untuk membina Sarawak yang lebih kukuh,” katanya.
Beliau menyifatkan NBX sebagai antara contoh bagaimana sektor swasta boleh memainkan peranan dalam menyokong perancangan pembangunan kerajaan Sarawak, selain mewujudkan ruang yang menggabungkan elemen pekerjaan, perniagaan, peruncitan dan komuniti dalam satu ekosistem.-TVS

6 hours ago
10








English (US) ·