Nisbah perwakilan Sarawak, Sabah di Parlimen perlu diperhalusi

43 minutes ago 7
ADVERTISE HERE

KUCHING, 26 September:Formula nisbah perwakilan Sarawak dan Sabah di Dewan Rakyat perlu dibincangkan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan mengenai penambahan kerusi Parlimen ditetapkan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, perbincangan itu perlu melibatkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, aspek perundangan serta formula bersesuaian perlu diteliti bagi menentukan nisbah perwakilan kedua-dua negeri berkenaan di Dewan Rakyat.

“Didalam kabinet, saya dan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, kami telah menyuarakan. Tetapi, dari sudut Kerusi Parlimen, memang kita belum menyuarakannya sebab kita menumpukan perhatian lebih kepada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terlebih dahulu.

“Kerusi Parlimen ini, seperti yang kita telah bincang dari pihak kita oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, mereka perlu menyusun yang dikatakan ratio. Bukannya berapa kerusi sebab apabila Singapura telah keluar dari Malaysia, satu per tiga kerusi parlimen itu telah dikatakan kosong. Jadi satu per tiga itu bagaimana formula satu per tiga itu diwujudkan, perlu dibincangkan bersama dari segi perundangannya, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita selepas terdahulu hadir, merasmikan Program Motivasi dan Bimbingan Peluang Pengajian Pelajar Sekolah Menengah anjuran Persatuan Alumni UiTM Sarawak (MITSA) yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bako, pada Sabtu.

Nancy berkata, beliau ketika ini lebih memberikan tumpuan dalam usaha memperjuangkan penambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Jelasnya lagi, cadangan berkaitan kerusi Parlimen belum dibincangkan secara khusus di peringkat pusat kerana mahu menunggu perbincangan mengenai formula nisbah dimuktamadkan terlebih dahulu.

Pada masa yang sama, Nancy berkata, beliau bersama wakil Sarawak dalam Kabinet Persekutuan telah menyuarakan isu berkaitan penambahan kerusi DUN Sarawak.

Ujarnya, perkara itu turut mendapat maklum balas baik daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan akan diperincikan melalui perbincangan antara Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor. -TVS

Read Entire Article