ADVERTISE HERE
KUALA LUMPUR: Kejayaan meraih pingat emas pada Sukan Para Asia Hangzhou 2022, tahun lepas menjadi pemangkin semangat buat Muhammad Nur Syaiful Zulkafli (gambar) untuk beraksi lebih cemerlang pada Sukan Paralimpik Paris 2024.
Atlet renang para negara itu berkata beliau akan membuat persiapan berintensiti tinggi bermula bulan ini sebagai persediaan mengharungi temasya sukan berprestij berkenaan yang akan berlangsung dari 28 Ogos hingga 8 Sept depan.
Muhammad Nur Syaiful berkata beliau juga dijadual menyertai kem latihan di China selama dua bulan pada Jun sebelum menggalas cabaran Malaysia di Paris.
“Segala persiapan bermula dari sekarang iaitu bulan ini, jadi dari awal tahun sampai detik ke Sukan Paralimpik Paris 2024 adalah tumpuan utama saya untuk kekal fokus bagi aksi seterusnya. (Ketika ini) saya ada 11 sesi latihan seminggu pada pagi dan petang,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Pada masa sama, atlet kelahiran Sarawak berusia 29 tahun itu juga akan menyertai dua kejohanan sebagai aksi pemanas badan serta melihat tahap kemajuan prestasinya.
“Saya akan sertai kejohanan Siri Dunia Renang Para Citi di Itali pada Mac depan, selain berangkat ke Portugal bagi The Madeira 2024 Para Swimming European Open Championships pada April,” katanya.
Dalam pada itu, meskipun tidak meletakkan sebarang sasaran pingat di Paris, Muhammad Nur Syaiful berazam melakukan terbaik agar dapat mencapai keputusan yang membanggakan.
“Saya akan cuba yang terbaik... pingat itu tidak pasti tetapi insya-Allah jika ada rezeki saya di sana,” katanya yang menduduki tempat kelima pada final acara 50 meter (m) gaya bebas S5 pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Pada Sukan Para Asia Hangzhou yang berlangsung Oktober lepas, Muhammad Nur Syaiful memenangi pngat emas 100m kuak dada SB4 dan membawa pulang gangsa acara 100m gaya bebas S5. -Bernama