Panduan rentas sempadan Sarawak-Brunei-Sabah dilancar

3 hours ago 7
ADVERTISE HERE

KUCHING, 14 Sept: Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) melalui Logistics Productivity Nexus (LPN) hari ini melancarkan Cross-Border Operational Guidebook for Sarawak-Brunei-Sabah Transportation Efficiency bagi memudahkan pergerakan barangan dan penumpang di seluruh Borneo.

Pelancaran buku panduan itu berlangsung bersempena BIMP-EAGA Land Transport MoUs Review & Stakeholder Workshop yang diadakan selama dua hari mulai hari ini hingga esok di salah sebuah hotel di sini.

Bengkel berkenaan menghimpunkan agensi kerajaan, pengawal selia, persatuan industri dan pengendali pengangkutan bagi menyemak dua Memorandum Persefahaman (MoU) Pengangkutan Darat BIMP-EAGA membabitkan pergerakan rentas sempadan bas dan koc komersial serta transit dan pengangkutan barang antara negeri.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, buku panduan itu menjadi rujukan praktikal dengan menghimpunkan keperluan dan prosedur utama berkaitan perjalanan rentas sempadan.

“Ia membantu pengendali pengangkutan memahami dokumen, permit, pihak berkuasa serta syarat yang diperlukan, selain menjadi rujukan yang boleh dikemas kini mengikut perubahan kawal selia dan operasi.

“Buku panduan berkenaan perlu berkembang daripada sekadar rekod prosedur kepada rujukan yang menyokong usaha penyederhanaan, pengharmonian dan pendigitalan perkhidmatan pengangkutan rentas sempadan,” jelasnya.

Menurutnya, kesalinghubungan rentas sempadan yang cekap penting bagi meningkatkan daya saing ekonomi, integrasi dengan ekonomi negara jiran serta memberi pengalaman perjalanan yang lebih lancar kepada masyarakat.

Lee berkata, bengkel dua hari itu perlu menghasilkan lebih banyak penyelesaian dan penambahbaikan, bukannya sekadar senarai isu, dengan setiap cadangan disertai tindakan susulan serta pihak yang bertanggungjawab.

“Hubungan rentas sempadan yang lebih cekap mampu memudahkan perdagangan dan pelancongan, mempertingkatkan rantaian bekalan, membuka akses pasaran serta merapatkan hubungan komuniti di seluruh Borneo.

“Sarawak komited memainkan peranan aktif dalam membina Wilayah BIMP-EAGA yang lebih terhubung, cekap dan berdaya saing melalui kerjasama kerajaan, agensi kawal selia dan pemain industri,” ujarnya.

Lee turut menyeru peserta bengkel supaya berani mengemukakan cabaran operasi sebenar, memberi tumpuan kepada penyelesaian praktikal dan memastikan cadangan yang dipersetujui dapat diterjemahkan kepada tindakan.-TVS

Read Entire Article