ADVERTISE HERE
MIRI, 26 Sept: Pekebun kecil kelapa sawit di Sarawak digalak mempelbagaikan jenis dan hasil tanaman bagi menghadapi cabaran pasaran dunia yang semakin kompetitif.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, langkah berkenaan penting susulan perubahan syarat kelestarian sawit dunia serta kehendak pembeli dan peniaga di pasaran global.
Menurut beliau, kepelbagaian tanaman bukan sahaja dapat membantu pekebun kecil menghadapi cabaran pasaran, malah mampu mewujudkan sumber pendapatan yang lebih stabil dan berdaya saing.
“Dalam menghadapi pasaran dunia yang kian mencabar, pekebun kecil harus mengorak langkah ke hadapan dengan mempelbagaikan jenis dan hasil tanaman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membaca teks ucapan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom pada Majlis Makan Malam Tahunan Ke-11 Persatuan Penanam Kelapa Sawit Dayak Sarawak (DOPPA), di sini, malam tadi.
Menurutnya, industri kelapa sawit kekal sebagai antara penyumbang utama kepada ekonomi Sarawak dengan keluasan tanaman kira-kira 1.67 juta hektar.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 292,392 hektar dimiliki pekebun kecil persendirian melibatkan 56,677 pekebun di seluruh negeri.
Tambah beliau, industri sawit menyumbang kira-kira RM801 juta kepada pendapatan negeri menerusi cukai jualan negeri ke atas minyak sawit mentah (CPO), isirung sawit dan minyak isirung sawit.
“Ini menjadikan industri sawit sebagai penyumbang kedua terbesar kepada pendapatan negeri selepas hasil petroleum,” katanya.
Pada 2025, produk sawit dianggarkan menyumbang RM18.70 bilion kepada jumlah eksport Sarawak, manakala pekebun kecil menyumbang kira-kira 15 peratus daripada keseluruhan pendapatan negeri daripada industri sawit.
Manakala, kira-kira 600 pekebun kecil dari seluruh Sarawak hadir pada majlis berkenaan, sekali gus mencerminkan sokongan terhadap peranan DOPPA dalam mewakili kepentingan golongan berkenaan. – TVS

15 minutes ago
1








English (US) ·