Pelantikan Fadillah sebagai Menteri Hal Ehwal Sabah Sarawak keputusan tepat — Abdul Karim

11 months ago 96
ADVERTISE HERE
Abdul Karim (dua dari kiri) pada sidang media di Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 13 Dis: Perlantikan Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof sebagai Menteri Bertanggungjawab Terhadap Hal Ehwal Sabah Sarawak pada rombakan kabinet semalam adalah keputusan tepat.

Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, ia adalah kerana semua perbincangan berhubung pengembalian hak-hak negeri sebelum ini telah dipengerusikan oleh Fadillah.

“Memang tepat kerana saya tahu apa-apa yang kita bincang dengan kerajaan pusat berkenaan pengembalian hak-hak negeri banyak dipengerusikan oleh Fadillah.

“Adalah bersesuaian beliau menjaga hal ehwal tersebut,” katanya pada sidang media di Kuching hari ini.

Pada rombakan kabinet oleh Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim semalam, Fadillah turut dikekalkan sebagai Timbalan Menteri selain dilantik sebagai menteri di Kementerian Peralihan Tenaga Daya Guna Awam yang merupakan kementerian baharu.

Berkenaan kementerian baharu tersebut, Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan yakin portfolio tersebut diwujudkan kerana Sarawak telah melangkah jauh ke hadapan dalam bidang tenaga.

“Sebelum ini Fadillah sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi, tetapi kali ini kemungkinan memandangkan Perdana Menteri melihat Sarawak begitu jauh ke hadapan berkenaan dengan tenaga, maka diwujudkan Kementerian tersebut dan Fadillah sebagai menteri yang baharu,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Karim yakin menteri dan timbalan menteri dari Sarawak yang dikekalkan atau dilantik ke kementerian baharu mencerminkan mereka telah melaksanakan tugas dengan baik.

Katanya, ia melibatkan Dato Sri Alexander Nanta Linggi (Menteri Kerja Raya), Dato Sri Tiong King Sing (Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya), Dato Sri Aaron Ago Dagang (Menteri Perpaduan), Dato Sri Nancy Shukri (Menteri Pembangunan Wanita dan Kesejahteraan Komuniti) dan Timbalan Menteri yang lain.

“Saya percaya Perdana Menteri telah memantau selepas setahun mereka dilantik sebagai menteri, mereka telah menjalankan tanggungjawab dengan baik.

“Kalau banyak rungutan dari orang ramai, saya percaya mereka akan digugur atau dipindah ke tempat lain.

“Mereka tidak ditukar dan itu mencerminkan mereka telah melaksanakan tugas dengan baik,” kata Abdul Karim. — DayakDaily

Read Entire Article