ADVERTISE HERE
SERIAN, 26 Sept: Seorang lelaki dewasa cedera selepas lori 10 tan yang dipandunya melanggar bahagian belakang sebuah lori treler berhampiran Masjid Kampung Balai Ringin di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian sekitar jam 6.05 pagi itu, mangsa dilaporkan tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dengan kecederaan pada kaki.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian tiba di lokasi pada jam 6.37 pagi dan mendapati mangsa masih berada dalam keadaan sedar.
“Operasi mengeluarkan mangsa dijalankan menggunakan peralatan menyelamat dan pengusung sebelum mangsa berjaya dikeluarkan dengan selamat.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, pemandu lori treler dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pasukan bomba turut menjalankan kerja pembersihan sisa kemalangan di atas jalan bagi memastikan laluan selamat sebelum operasi ditamatkan pada jam 7.08 pagi.
Operasi diketuai PBK I Fairus Bin Jamain dengan kekuatan lapan anggota menggunakan sebuah FRT dan sebuah EMRS, turut dibantu PDRM dan KKM. – TVS

24 minutes ago
5








English (US) ·