ADVERTISE HERE
KUCHING, 26 Sept:Beberapa jalan utama di sekitar pusat bandar Kuching akan ditutup secara berperingkat mulai 28 September hingga 10 Oktober ini sempena Sambutan Hari Lahir Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Ke-80.
Penutupan itu bagi memberi laluan kepada persiapan dan pelaksanaan Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa yang dijadualkan berlangsung pada 10 Oktober, dari jam 7 pagi hingga 12 tengah hari di Padang Merdeka.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, penutupan dan lencongan jalan akan membabitkan beberapa laluan utama mengikut jadual yang ditetapkan.
“Pada 28 September hingga 10 Oktober, Jalan McDougall akan ditutup bagi tujuan pemasangan, persiapan dan mengemas logistik selepas program, bermula jam 10 pagi hingga selesai.
“Sementara itu, 5 hingga 7 Oktober, Jalan McDougall dan Jalan Tun Abang Haji Openg akan terlibat dengan penutupan semasa raptai Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa dari jam 7 pagi hingga 11 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bagi 8 Oktober, raptai penuh akan melibatkan Jalan Tun Abang Haji Openg, Jalan McDougall, Jalan Wawasan, Lebuh Temple, Jalan Main Bazaar, Lebuh Wayang dan Jalan Gambier, bermula jam 7 pagi hingga 11 pagi.
“Pada 10 Oktober, penutupan dan lencongan jalan akan dilaksanakan dari jam 7 pagi hingga 12 tengah hari bagi Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa, manakala Konsert Rakyat pada hari sama akan menyaksikan penutupan beberapa laluan dari jam 7 malam hingga 12 tengah malam.
“PDRM menasihatkan orang ramai supaya tidak meletakkan kenderaan di sepanjang bahu jalan, selain merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas,” ujarnya.-TVS

18 minutes ago
4








English (US) ·