V. Sahundaraju

KUCHING, 15 Jan: Persatuan Kuil Hindu Kuching memohon peruntukan tambahan daripada kerajaan Negeri bagi menyiapkan patung Raja Gopuram di Kuil Sri Srinivasagar Kaliamman di Jalan Ban Hock di sini.

Presidennya V. Sahundaraju berkata, pihaknya kekurangan dana sekitar RM600,000 bagi projek tersebut.

“Kos keseluruhan bagi menyiapkan patung ini adalah lebih kurang RM1 juta.

“Terdahulu kita menganggarkan kos hanya RM900,000 tetapi disebabkan kenaikan harga bahan binaan ia meningkat sekarang,” katanya ketika ditemui di Pesta Ponggal di Kuil Sri Srinivasagar Kaliamman hari ini.

Pesta Ponggal di Kuil Sri Srinivasagar Kaliamman di Jalan Ban Hock.

Menurut V. Sahundaraju lagi, terdahulu pihaknya telah menerima peruntukan sebanyak RM200,000 daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor).

Justeru katanya, sejumlah peruntukan sekitar RM500,000 hingga RM600,000 diperlukan untuk menyiapkan patung Raja Gopuram.

“Kita memohon peruntukan tambahan daripada Unifor.

“Siap nanti, kuil ini akan menjadi satu lagi kawasan tarikan pelancong di Bandaraya Kuching,” katanya. — DayakDaily