Pembudayaan ilmu perkukuh asas ekonomi Sarawak

5 days ago 21
ADVERTISE HERE

KUCHING, 26 Sept: Pembudayaan ilmu menerusi pendidikan, penyelidikan dan inovasi menjadi asas penting dalam menyokong peralihan Sarawak ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kekuatan pemikiran rakyat dan keupayaan masyarakat menguasai ilmu perlu seiring dengan pembangunan fizikal serta kemajuan teknologi.

“Sesungguhnya, kemajuan sesebuah wilayah bukan hanya dapat dilihat melalui bangunan, lebuh raya atau nilai ekonominya. Ia turut diukur melalui tahap pemikiran rakyatnya, kekuatan institusi ilmunya serta keupayaan masyarakat mendokumentasikan pengalaman dan pengetahuan untuk diwariskan kepada generasi akan datang,” teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada majlis Penyampaian Anugerah Buku Terbaik Premier Sarawak 2024/2025 di Kuching pada Jumaat.

Abang Johari berkata, Sarawak kini menuju kepada pembangunan yang lebih berteraskan inovasi, teknologi dan ekonomi berasaskan pengetahuan, termasuk dalam bidang ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi hijau.

“Meskipun teknologi menjadi pemacu utama transformasi tersebut, ilmu pengetahuan kekal sebagai asas kepada segala kemajuan yang ingin dicapai.

“Masyarakat yang membaca akan melahirkan masyarakat yang berfikir. Masyarakat yang berfikir pula akan lebih bersedia untuk mencipta penyelesaian kepada cabaran masa hadapan,” ujarnya.

Justeru, tegasnya buku perlu dilihat bukan sekadar sebagai bahan bacaan, tetapi sebagai wahana untuk membentuk pemikiran, merakam pengalaman serta membina peradaban.

Pendekatan itu selari dengan penekanan Sarawak terhadap pengukuhan modal insan dan keupayaan intelektual sebagai sebahagian daripada agenda transformasi negeri.

Dalam konteks berkenaan, penerbitan dan dokumentasi ilmu bukan sahaja berperanan memelihara sejarah serta pengalaman masyarakat, malah boleh menjadi sumber rujukan penting dalam membentuk generasi yang lebih bersedia menghadapi perubahan teknologi dan ekonomi pada masa hadapan. – TVS

Read Entire Article