PETALING JAYA: Pemimpin Sarawak mengecam cadangan Ahli Parlimen Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal agar Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk jawatan perdana menteri diisi orang Melayu sahaja.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pemimpin sepatutnya meninggalkan perspektif etnosentrik jika mahu Malaysia maju dan mendapat penghormatan antarabangsa.
Beliau menekankan keperluan untuk negara berganjak melampaui retorik, terutama selepas enam dekad kemerdekaan.
“Malang melihat masih ada pemimpin bermain kaum dan agama,” katanya kepada FMT.
“Malaysia adalah negara berbilang kaum dan agama. Jika kita mahu maju dan dihormati dalam negara dan luar, kita mesti meninggalkan segala bentuk perkauman.
“Kita mahu kepada pemimpin mengelak diskriminasi terhadap minoriti, mereka yang percaya kepada penerimaan berdasarkan merit untuk memimpin Malaysia, bukan dipilih berdasarkan bangsa,” katanya kepada FMT.
Karim berkata demikian susulan gesaan Anwar Ibrahim menggunakan kelebihan majoriti dua pertiga dengan meminda Perlembagaan Persekutuan menghalang individu bukan Melayu menjadi perdana menteri.
Ketua Pemuda Bersatu itu berkata, langkah meminda Perlembagaan berkenaan sedikit sebanyak “memulihkan sokongan” orang Melayu, selain menoktahkan pertikaian berhubung isu itu seperti dibangkitkan veteran DAP Lim Kit Siang, baru-baru ini.
Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukan kepada calon diperkenan Yang di-Pertuan Agong sebagai perdana menteri, iaitu seorang ahli Dewan Rakyat (bukan Dewan Negara) dan seorang yang pada hemat baginda bahawa mungkin mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Julau Larry Sng, mengingatkan bahaya mempolitikkan isu seperti itu, dan berpandangan ia tidak memberi manfaat kepada kemajuan negara, malah melebarkan lagi jurang antara kaum.
Beliau juga mempersoalkan sama ada orang pribumi Sabah dan Sarawak dihalang menerajui negara pada masa depan.
“Bumiputeras dari Borneo yang bukan Melayu sepatutnya dibenarkan menerajui pada satu masa nanti. Justeru, apa jua pindaan menghadkan jawatan perdana menteri kepada satu kaum sahaja adalah bersifat diskriminasi,” katanya kepada FMT.
Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii, menekankan visi pengasas negara ini adalah membina negara di mana semua rakyat Malaysia boleh menyumbang.
“Ini termasuk kemungkinan menyandang jawatan kepimpinan, malah jawatan tinggi sekalipun dan ia diukur melalui kemampuan dan sumbangannya kepada negara mereka sendiri,” katanya.