ADVERTISE HERE
MIRI, 13 Sept: Pergerakan Pengakap dilihat bukan sekadar platform aktiviti kokurikulum, sebaliknya berperanan penting dalam membentuk generasi muda yang berdisiplin, berintegriti, bertanggungjawab dan mempunyai nilai kemanusiaan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, pembangunan sesebuah masyarakat tidak hanya bergantung kepada pembinaan infrastruktur, tetapi turut memerlukan pembangunan modal insan yang berkualiti.
“Pembangunan yang paling penting ialah membangunkan manusia dan masyarakat kita.
“Kita boleh membina bangunan yang tinggi dan jalan raya yang panjang, tetapi jika kita tidak membangunkan manusia dan masyarakat yang berilmu, berdisiplin, berintegriti dan mempunyai nilai kemanusiaan, pembangunan itu tidak akan memberikan manfaat yang kita harapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Pengakap Daerah Miri 2.0 di sini, malam tadi.
Menurutnya, nilai yang diterapkan menerusi pergerakan Pengakap kekal relevan meskipun generasi muda kini berdepan perubahan dunia yang dipacu teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital.
Katanya, slogan ‘Be Prepared’ bukan sekadar bermaksud bersedia menyertai aktiviti Pengakap, tetapi mendidik ahlinya supaya sentiasa bersedia menghadapi cabaran, kegagalan, tanggungjawab dan keperluan masyarakat.
Dalam pada itu, Gerawat turut merakamkan penghargaan kepada pemimpin Pengakap, guru, pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Miri serta ibu bapa atas sokongan berterusan terhadap pembangunan pergerakan itu.
“Anugerah bukanlah penamat, tetapi anugerah adalah satu amanah dan landasan untuk mengejar kejayaan yang lebih cemerlang,” katanya

55 minutes ago
4








English (US) ·