ADVERTISE HERE
BINTULU, 21 Sept: Penjawat awam perlu terus meningkatkan kemahiran dan keupayaan diri bagi menghadapi perubahan teknologi serta cabaran semasa.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, warga perkhidmatan awam tidak seharusnya berpuas hati dengan tahap keupayaan sedia ada, sebaliknya perlu sentiasa meningkatkan pengetahuan dan kemahiran.
“Sebagai penjawat awam, kita berdepan banyak cabaran dan perlu menangani perubahan serta bergerak seiring dengannya, kita mesti meningkatkan kebolehan dan jangan hanya berpuas hati dengan tahap yang ada pada hari ini. Apa sahaja yang boleh kita tingkatkan, kita perlu tingkatkan, termasuk dalam aspek teknologi.
“Jika kita kurang menguasai teknologi, kita perlu meningkatkan kemahiran dalam bidang tersebut, ” katanya ketika berucap dalam Majlis Amanat Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Sarawak di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Menurutnya, perubahan teknologi yang berlaku dengan pantas memerlukan penjawat awam sentiasa bersedia meningkatkan keupayaan masing-masing.
Justeru, beliau menegaskan bahawa latihan dan pembelajaran berterusan penting bagi memastikan warga perkhidmatan awam mampu menyesuaikan diri dengan keperluan semasa serta melaksanakan tugas dengan lebih berkesan.
Dalam pada itu, katanya, aktiviti sukan boleh membantu penjawat awam mengurangkan tekanan kerja, selain menjaga kesihatan dan memupuk semangat berpasukan, penglibatan dalam aktiviti sukan memberi ruang kepada penjawat awam untuk mengurangkan tekanan selepas melaksanakan tugas seharian.
“Yang penting bagi saya ialah kita menjaga kesihatan. Sebagai penjawat awam, kita tidak seharusnya terlalu tertekan dengan pekerjaan.Aktiviti bersukan seperti ini merupakan salah satu cara untuk mengurangkan tekanan kerja dan memastikan kita kekal sihat.
“Pada masa sama, ia berkait dengan tanggungjawab kita sebagai penjawat awam kerana semangat berpasukan amat penting, dalam apa sahaja sukan yang kita sertai, sama ada bola sepak, badminton, boling, bola keranjang, sepak takraw dan sebagainya, kita tidak boleh bermain sendirian. Begitu juga dalam pekerjaan, kita tidak boleh bekerja sendirian,” katanya.
Menurutnya, aktiviti sukan secara berkumpulan bukan sahaja memberi manfaat kepada kesihatan fizikal dan mental, malah membantu membina hubungan serta kerjasama dalam kalangan penjawat awam.
Katanya, semangat berpasukan yang dipupuk melalui aktiviti berkenaan perlu diterapkan dalam pelaksanaan tugas seharian bagi memastikan tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. – TVS

1 hour ago
5








English (US) ·