Pertandingan memancing mampu tarik lebih ramai pengunjung ke Muara Tebas

1 day ago 7
ADVERTISE HERE

KUCHING, 21 Sept: Pertandingan memancing anjuran Rukun Tetangga (KRT) Kampung Muara Tebas berpotensi menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan berkenaan, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi dan membantu meningkatkan pendapatan penduduk setempat.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, berkata penganjuran aktiviti berkenaan bukan sahaja memberi ruang kepada penduduk dan kaki pancing menyertai kegiatan rekreasi, malah berpotensi menjadi tarikan kepada pengunjung.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut berkata, usaha sedemikian boleh membuka peluang kepada penduduk tempatan untuk menjana pendapatan menerusi peningkatan aktiviti ekonomi di kawasan berkenaan.

“Pertandingan seperti ini berpotensi menarik lebih ramai pengunjung ke Muara Tebas, sekali gus menyumbang kepada aktiviti ekonomi tempatan dan menyediakan peluang yang boleh menyokong pendapatan penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelepasan benih ikan siakap sempena pertandingan memancing di Jeti Muara Tebas, di sini, pada Sabtu lepas.

Pada program sama, pelepasan benih ikan siakap turut diadakan sebagai usaha menyokong pemuliharaan dan peningkatan sumber perikanan di kawasan berkenaan.

Dr Hazland turut merakamkan penghargaan kepada JPLS atas bantuan dan sokongan dalam menjayakan program berkenaan.

Pertandingan memancing sulung itu menghimpunkan penduduk setempat dan kaki pancing sebelum diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah kepada peserta yang mengambil bahagian.

Program berkenaan turut menjadi platform menggalakkan kerjasama antara JPLS, komuniti nelayan dan penduduk Kampung Muara Tebas dalam usaha memelihara sumber perikanan serta kelestarian ekosistem perairan.

“Kerjasama berterusan antara komuniti dan pihak berkuasa penting dalam memastikan sumber perikanan terus dipelihara serta menyokong kelestarian persekitaran perairan dan pembangunan sosioekonomi penduduk setempat,” katanya. – TVS

Read Entire Article